Bahasa Melayu, tulisan jawi lambang ketuanan, kedaulatan bangsa – Sultan Pahang

Bahasa Melayu, tulisan jawi lambang ketuanan, kedaulatan bangsa – Sultan Pahang

LIPIS: Bahasa Melayu dan tulisan jawi merupakan simbol dan lambang ketuanan serta kedaulatan bangsa yang perlu dipertahankan demi kelangsungan jati diri generasi akan datang.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, negeri ini yang kaya dengan adat, budaya dan sejarah, mesti menjadi contoh dalam mempertahankan bahasa Melayu dan tulisan Jawi.

“Lihatlah bangsa lain di dunia, mereka memartabatkan bahasa dan tulisan mereka dengan penuh kebangsaan.

“Mereka tidak pernah merasa hina untuk menggunakan bahasa dan tulisan sendiri dalam bidang sains, teknologi, pentadbiran dan perdagangan, mereka mengangkatnya di peringkat antarabangsa tanpa ragu-ragu,” titah baginda sempena merasmikan masjid baharu Kampung Seberang Jelai dan Majlis Berbuka Puasa sebelum memasyhurkan masjid berkenan dengan nama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan juga sudah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tidak boleh dipinda selain mendapat perkenan Majlis Raja-raja.

Titah baginda, tulisan jawi pula warisan bangsa yang mengalir dalam naskhah sejarah sejak lebih seribu tahun dengan merakam hikayat keagungan, mentranskrip undang-undang, mengabadikan perjanjian dan menyebarluaskan ilmu.

“Tulisan ini jugalah yang mengajarkan umat akan ayat suci, membentuk adab dan mengukuhkan keilmuan. Maka usaha memartabatkan tulisan jawi bukan sekadar nostalgia silam tetapi amanah yang wajib kita pikul,” titah baginda.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut menyentuh berkenaan usaha memartabatkan tulisan Jawi yang merupakan amanah yang wajib dipikul.

“Kerajaan Pahang telah menguatkuasakan Dasar Penggunaan Bahasa Melayu dan Tulisan Jawi dalam premis perniagaan dan papan tanda sejak 2020, dan saya berharap semua pihak memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan dasar ini.

“Pemerkasaan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi bukan hanya sekadar agenda negeri, tetapi juga agenda nasional yang perlu kita junjung dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab,” titah baginda. – UTUSAN

Scroll to Top