mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perlu ada pembabitan dan perbincangan komprehensif berhubung Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif 2025) yang diterbitkan di laman web rasmi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 17 Januari lalu.
Perkara itu disuarakan tiga organisasi pengurusan kolektif industri muzik iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Public Performance Malaysia Berhad (PPM) dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).
Mereka menyuarakan kebimbangan dengan keputusan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, pada 17 Mac lalu berkenaan isu terbabit.
“Semasa Sesi Libat Urus (SLU) anjuran Bahagian Hak Cipta MyIPO bersama pengurusan organisasi pengurusan kolektif pada 12 Mac lalu, pihak MACP, PPM dan RPM sudah meluahkan pendirian kami bahawa Garis Panduan yang diterbit sudah dimuktamadkan secara unilateral tanpa konsultasi dengan kami.
“Dan kebanyakan peruntukan dalam Garis Panduan adalah ‘ultra vires’, iaitu melampaui bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan bercanggah dengan undang-undang lain yang berkuatkuasa.
“Berikutan itu, kami berpendapat bahawa Garis Panduan terbabit tidak sewajarnya diterima pakai oleh kami,” kata mereka menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut mereka lagi, Garis Panduan Hak Cipta dikatakan diwujudkan bertujuan untuk memperkemaskan tadbir urus dan operasi organisasi pengurusan kolektif (CMO) di Malaysia.
Namun pendekatan yang diambil dalam penyediaan Garis Panduan terbabit menimbulkan keraguan di kalangan CMO dan pemegang hak cipta.
Pengerusi MACP, Datuk M Nasir berkata, mereka berpendapat bahawa beberapa peruntukan Garis Panduan terbabit melampaui autonomi dan kebebasan dalam menjalankan operasi utama mereka, iaitu melindungi kepentingan pemegang hak cipta.
“Selama ini, MACP melaksanakan urus tadbir operasi yang mengikut amalan terbaik antarabangsa. Sebagai ahli CISAC (International Confederation of Societies of Authors and Composers), kami tertakluk kepada peraturan dan garis panduan antarabangsa yang ketat yang ditetapkan oleh CISAC.
“Kami menghormati usaha kerajaan dalam menambah baiki tadbir urus industri hak cipta, namun kami tidak diberikan ruang yang mencukupi untuk berbincang dan menyuarakan pandangan.
“Tanpa perbincangan jelas dengan pihak berkepentingan, pelaksanaannya boleh memberi kesan negatif kepada ekosistem hak cipta dan kelangsungan hidup para pencipta seperti saya, yang bergantung kepada pendapatan hasil pendapatan royalti daripada badan pengurusan kolektif, ” katanya.
Pengerusi PPM, Rosmin Hashim pula berkata, mereka sebuah Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) mewakili kepentingan pemilik-pemilik hak cipta rakaman lagu dan video yang merupakan pelabur utama dalam industri muzik tempatan.
“PPM juga adalah ahli IFPI (International Federation of the Phonographic Industry), iaitu sebuah badan yang mewakili industri rakaman sedunia.
“Sebagai ahli IFPI, PPM sentiasa menambahbaik operasinya agar selari dengan amalan terbaik sedunia. Kami menyambut baik inisiatif MyIPO untuk menerbitkan Garis Panduan CMO yang bertujuan untuk menambahbaik tatakelola CMO sedia ada di Malaysia.
“Walau bagaimanapun, matlamat ini tidak boleh dicapai jika rundingan terperinci tidak diadakan dengan pihak kami terlebih dahulu untuk memastikan Garis Panduan CMO yang diterbitkan betul-betul melindungi kepentingan pelabur yang menjadi ahli kami,” katanya.
Rosmin berkata, sebaliknya, Garis Panduan CMO yang bermasalah akan memberi kesan negatif kepada pengurusan syarikat mereka yang akan sekali gus menjejaskan pendapatan para pelabur dan ekonomi negara.
Pengerusi RPM, Datuk Sheila Majid pula berkata, mereka menghargai usaha kerajaan dalam meningkatkan tadbir urus industri hak cipta.
“Namun, sebagai Badan Pengurusan Kolektif di Malaysia, kami bukan sahaja mewakili artis tempatan tetapi juga artis antarabangsa.
“Oleh itu, kami sudah lama komited kepada amalan urus tadbir yang selaras dengan piawaian antarabangsa. Kami berpegang teguh kepada amanah kami untuk mewakili dan melindungi pemegang hak cipta.
“Walau bagaimanapun, pelaksanaan garis panduan yang baru ini menunjukkan banyak percanggahan. Kami percaya bahawa kami sepatutnya dilibatkan dalam proses perbincangan sebelum sebarang keputusan atau garis panduan rasmi dikeluarkan,” katanya.
Menurutnya garis panduan ini, yang berpotensi menjejaskan operasi, sudah tentu berisiko menjejaskan bayaran royalti kepada ramai artis.
© New Straits Times Press (M) Bhd