Sebelum ini penyanyi Indonesia, Raffa Affar dikritik hebat apabila dikatakan telah merosakkan melodi lagu Tiara dendangan asal kumpulan era 1980–an, Kris.
Terbaru, penyanyi sensasi Baby Shima turut berdepan situasi sama selepas menyanyikan semula atau melakukan ‘cover’ lagu ciptaan Datuk M. Nasir itu dalam versi dangdut.
Malah, penyanyi berusia 30 tahun itu turut menghasilkan muzik video yang dilancarkan di saluran YouTube miliknya pada 10 Julai lalu sehingga mencecah puluhan ribu tontonan.
Selain itu, Baby Shima atau nama lengkapnya Nor Ashima Ramli juga ada menjayakan sebuah persembahan dengan membawa lagu tersebut secara siaran langsung menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok miliknya.
@babyshimaofficial Penonton terkejut lagu Tiara dari Baby Shima jadi dangdut.. full video di youtube byma story #babyshima #tiara #fyp
“Penonton terkejut lagu Tiara daripada Baby Shima jadi dangdut,” tulis Baby Shima baru-baru ini.
Menjengah di ruangan komen, video meraih hampir 257,000 tontonan itu mendapat reaksi negatif netizen yang berpendapat bahawa versi berkenaan kurang sesuai untuk diperdengarkan.
Namun, rata-rata masih memuji ‘buah tangan’ dihasilkan Baby Shima itu yang disifatkan memberi nafas baharu kepada lagu balada rock tersebut.
Setiap pendengar ada selera masing-masing. Jadi kalau sakit telinga, boleh abaikan sahaja.