Azmi ganti Norazlan, 9 pegawai SPRM terima watikah kenaikan pangkat

Azmi ganti Norazlan, 9 pegawai SPRM terima watikah kenaikan pangkat

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Putrajaya: Bekas Pengarah Kanan Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azmi Kamaruzaman dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), berkuat kuasa 13 Februari lalu.

SPRM berkata, ia bagi menggantikan Datuk Seri Norazlan Mohd Razali yang bersara wajib pada 17 November tahun lalu.

Menurutnya, Azmi, 57, yang berkelulusan Diploma Pengajian Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), mula menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 29 Julai 1991.

Katanya, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Perisikan sebelum ini.

“Beliau yang berpengalaman luas dalam sektor operasi dan sektor pencegahan juga pernah berkhidmat di SPRM Pahang, SPRM Sarawak, SPRM Perak, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Bahagian Perisikan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Selain itu, sembilan pegawai SPRM turut menerima watikah surat pemangkuan dan kenaikan pangkat serta penempatan daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 13 Februari lalu.

Menurutnya, ia membabitkan Datuk Idris Zaharudin yang dilantik sebagai Pengarah Kanan, Bahagian Perisikan SPRM; Datuk Mohd Hafaz Nazar dilantik sebagai Pengarah Kanan, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM dan Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dilantik sebagai Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM

“Selain itu Datuk Ahmad Sabri Mohamed dilantik sebagai Pengarah SPRM Perak, Datuk Nazli Rasyid Sulong dilantik sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, manakala Ismajuri Ismail dilantik sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM.

“Datuk Saiful Ezral Arifin dilantik sebagai Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Governans Nasional SPRM, Rasidah Abdul Karim dilantik sebagai Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM serta Hairuzam Mohamad Amin@Hamim dilantik sebagai Pengarah SPRM Selangor,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top