Alor Setar: Bekas pertahanan Kedah, Azmeer Yusof mengumumkan persaraannya daripada dunia bola sepak profesional untuk memfokuskan perhatian dalam bidang perniagaan dan Pusat Pengajian Ameer Yusof (PPAY) yang diusahakannya pada masa ini.
Azmeer, 30 yang memulakan karier bola sepak bersama pasukan Kuala Lumpur pada 2008 memberitahu bahawa dia memang berhasrat untuk mengakhirkan kerjaya bola sepaknya setelah beraksi dengan Kedah.
“Saya Azmeer Yusof ingin mengumumkan secara rasminya bersara daripada bola sepak profesional dan untuk peminat di luar sana, saya berharap semua dapat terima keputusan saya ini dan saya minta maaf kerana tidak dapat meneruskan apa yang kalian doa dan harapkan untuk saya teruskan dalam bola sepak”, katanya.
“Separuh umur saya melibatkan diri dalam arena bola sepak tempatan dan saya rasa inilah masa yang sesuai untuk saya berundur daripada bidang bola sepak ke bidang keusahawan dan kebajikan Islam dan memang impian saya mahu bersara selepas saya menyertai Kedah FA dan impian itu kini tercapai”, katanya lagi.
Semasa bersama Kedah, dia berjaya membantu skuad Lang Merah merangkul Piala Malaysia pada 2016 dan Piala FA 2019 disamping pernah membantu Kuala Lumpur muncul juara Liga Perdana pada 2017.
Disamping Kedah dan Kuala Lumpur, Azmeer juga pernah menyertai lima lagi pasukan dalam kancah Liga Malaysia iaitu Proton, Perak, Pos Malaysia, Negeri Sembilan dan ATM.
Sumber: BH Online
Akmal Hakim
Sports Desk