Azlan Komeng dakwa duit RM10,000 lesap ketika kemalangan

Azlan Komeng dakwa duit RM10,000 lesap ketika kemalangan

am@hmetro.com.my

 

Kuala Lumpur: Pelakon, Azlan Komeng mendedahkan dirinya kehilangan wang bernilai hampir RM10,000 ketika terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kuala Lipis, Pahang pada Jumaat lalu.

Menerusi hantaran di TikTok, Azlan berkata, wang tunai berkenaan diletakkan dalam bag berwarna hitam.

“Dalam keadaan cemas itu, memang saya tak fikir duit itu langsung, kami teringat duit itu lepas kami nak bayar banyak benda dan terus menggelabah lepas dapat tahu duit itu sudah tiada.

“Selepas kemalangan kereta, saya masih berada di Balai Polis Kuala Lipis tetapi adik dan kawan-kawan pergi periksa semula kereta itu dan ia memang kosong.

“Bila bertanya kepada pihak polis masa kejadian itu pun mereka kata hanya ambil barang-barang kami tanpa periksa pun isinya,” katanya.

Sementara itu, Isteri Azlan iaitu Nur Nilam Ortiz pula berkata, mereka mula menyedari kehilangan wang tunai berkenaan ketika mahu membayar kos perubatan suaminya.

Menurut Nilam, mereka juga tidak menemui beg hitam berkenaan dalam kenderaan dan pihak polis juga tidak dapat mengesannya.

Katanya, dia beranggapan kemungkinan beg berisi wang terbabit tercampak keluar daripada kereta ketika kemalangan berkenaan.

“Saya syak mungkin beg berisi wang itu tercampak keluar dan mungkin ada orang yang terambil dan mereka tak tahu ia kepunyaan kami.

“Saya berharap semoga Allah buka pintu hati mereka untuk pulangkan semula beg berisi wang itu kepada kami,” katanya.

 Ditanya pembedahan suaminya, kata Nilam, wang itu juga mahu digunakan untuk menampung perbelajaan kos pembedahan suaminya yang mencecah hampir RM40,000.

“Sebab duit itu satu-satunya wang yang kami ada sekarang. Duit simpanan kami pun tak mencukupi untuk membayar kos pembedahan suami yang mencecah sebanyak RM40,000.

“Saya juga terpaksa menjual barang kemas untuk menampung kos pembedahan suami,” katanya.

Terdahulu,  Azlan dan Nilam terbabit dalam kemalangan di Kuala Lipis, Pahang apabila keretanya bertembung dengan sebuah trak polis, pada Jumaat lalu.

Susulan kejadian itu, Azlan terpaksa menjalani pembedahan tangan kanan dan mengalami kecederaan lain seperti patah pada bahagian kedua-dua belah kaki serta pinggul, manakala, Nilam pula hanya mengalami cedera ringan.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top