Beasley (kanan) percaya Azizulhasni berada pada momentum terbaik untuk memecut dalam acara keirin hujung minggu ini. Foto FB MSN
“SAYA percaya kami boleh berikan anda hadiah,” kata jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley menjelang acara keirin lelaki Olimpik Paris 2024 yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome, hujung minggu ini.
Penyandang naib johan, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan menjadi tumpuan seluruh negara yang menantikan kilauan pingat emas Olimpik pertama, pada dua hari terakhir temasya berprestij itu.
Kedua-duanya menamatkan kempen acara pecut pada Rabu, selepas tersingkir pada pusingan 1/8 (Mohd Azizulhasni) dan 1/32 (Muhammad Shah Firdaus) sebelum berehat bagi menghadapi acara kegemaran mereka itu.
Dalam acara pecut, Mohd Azizulhasni yang meraih julukan ‘The Pocket Rocketman’ memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dengan mencatatkan 9.402 saat (s) untuk menamatkan pusingan kelayakan pada kedudukan ke-10, sekali gus mengatasi rekod sebelum itu 9.523s yang dilakukan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Nilai, tahun lepas.
Beasley berkata anak, buahnya kini telah ‘mendapatkan kelajuan’ yang diperlukan untuk meneruskan momentum pada Sabtu dan Ahad ini.
“Jadi sekarang hanya sesi latihan ringan dan berehat dan harapnya pada Ahad kami boleh bawakan momentum yang baik. Saya mempunyai penunggang keirin terbaik dunia, bila-bila masa (boleh menang) tiga terbaik.
“Apa yang paling utama ialah kami telah dapat kelajuan yang diperlukan untuk menang. Jadi, sesiapa pun dalam saringan kami, siapa di gelanggang, kami mempunyai kelajuan untuk melakukannya.
“Kami datang ke sini untuk memenangi acara kegemaran kami (keirin), kami menuju sasaran, saya lega,” katanya kepada Bernama.
Pusingan pertama dan repechages dijadualkan pada Sabtu, manakala suku akhir, separuh akhir dan final akan diadakan keesokannya pada hari terakhir Sukan Olimpik Paris.
Setakat ini, Malaysia telah merangkul dua pingat gangsa menerusi pemain badminton Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) dalam temasya itu. – Bernama