
Azizulhasni meraih pingat emas acara pecut individu lelaki ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai sebentar tadi. – Foto Bernama
JAGUH negara, Datuk Azizulhasni Awang berjaya merampas semula pingat emas acara pecut individu elit lelaki pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan sebentar tadi.
Selepas kali terakhir meraih emas acara tersebut pada edisi 2020 di Jincheon, Korea Selatan, Azizulhasni kembali menjejakkan kaki di podium ‘sang juara’ selepas mengetepikan pelumba Jepun, Kaiya Ota 2-0 di pentas final.
Sebelum itu, Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman menyingkirkan seorang lagi pelumba handalan Jepun, Kento Yamasaki di peringkat separuh akhir – juga dengan keputusan 2-0.
Azizulhasni berada di momentum terbaik bagi menghadapi saingan di peringkat separuh akhir dan final hari ini selepas mencatatkan masa 9.523 saat (s) untuk menduduki tangga pertama peringkat kelayakan pada Khamis.
Lebih manis, catatan yang dilakukan pelumba berusia 35 tahun itu berjaya mengatasi rekod kebangsaan 9.548s yang dilakukannya pada Kejohanan Dunia 2020 di Berlin, Jerman.
Malah, catatan itu juga menghampiri rekod Asia yang dipegang pelumba sensasi Jepun, Yuta Wakimoto iaitu 9.518s yang diciptanya pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.