Azizul tak sabar gegar Paris

Azizul tak sabar gegar Paris

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Berlatarbelakang alunan instrumental penuh bersemangat iaitu lagu Vio Pipe dendangan kumpulan grunge sensasi Malaysia, Butterfingers, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memuat naik insta story bahawa dia tidak sabar turun beraksi di Sukan Olimpik Paris.

Azizulhasni yang juga peminat muzik grunge iaitu cabang kepada genre alternative rock, mula menghitung hari untuk turun ke Velodrom de Saint Quentin en Yvelines bagi penampilan kelima dan terakhir di temasya berkenaan.

Pelumba berusia 36 tahun itu yang diberi gelaran The Pocket Rocketman akan memulakan kempen dalam acara pecut individu yang dijadual berlangsung pada 7 Ogos ini turut akan beraksi dalam acara kegemarannya keirin pada 10 Ogos.

Menurut pelumba kelahiran Dungun, dia teruja untuk memulakan aksi di Paris yang akan menjadi penampilan kelimanya dan yang terakhir di pentas Olimpik.

“12 hari lagi sebelum perlumbaan saya di Sukan Olimpik dan saya sangat teruja menantinya,” kata Azizulhasni yang mula beraksi di Olimpik bermula edisi 2008 di Beijing diikuti London 2012, Rio de Janeiro 2016 dan Tokyo 2020.

Azizulhasni berjaya meraih gangsa dan perak, masing-masing di Rio 2016 dan Tokyo 2020 dan hanya satu lagi kilauan pingat yang belum berada dalam genggamannya, iaitu emas dan itu adalah impiannya sebelum mengakhiri karier sebagai pelumba.

“Bagi diri sendiri, inilah kemuncaknya untuk meraih pingat emas sekalipun saya sedar bakal mendapat tentangan daripada pelumba dari Belanda, Jepun, Australia dan Great Britain.

“Saya mahu membuktikan sesuatu dan membalas kepercayaan diberikan kepada saya selama ini dengan membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik buat Malaysia,” kata Azizulhasni baru-baru ini.

Di Paris nanti, Azizulhasni turut ditemani dua lagi rakan seperjuangan iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

© New Straits Times Press (M) Bhd