Azhan Rani bosan watak 'penunggang agama'

Azhan Rani bosan watak 'penunggang agama'

am@hmetro.com.my

Ampang: Pelakon berkaliber, Azhan Rani bosan apabila sering ditawarkan watak ‘penunggang agama’ selepas watak Ustaz Hamadi dalam drama rantaian, Nur meledak tujuh tahun lalu.

Katanya, watak Ustaz Hamadi terlalu kuat sehingga dia meminta pengarah Shahrulezad Mohameddin mencipta karakter baharu yang dapat mengikis ingatan penonton terhadap watak berkenaan.

“Terus terang cakap, saya bosan dengan watak penunggang agama. Selepas drama Nur, terlalu banyak watak sama yang diterima hingga terpaksa tolak.

“Saya sudah berjanji pada diri sendiri, tak mahu bawa watak ustaz kerana saya tak mahu watak Ustaz Hamadi terus melekat sampai bila-bila.

“Jadi, saya mengharapkan watak baharu akan ‘bunuh’ karakter watak Ustaz Hamadi setiap kali dapat tawaran,” katanya yang ditemui pada Majlis Pelancaran Unifi TV Originals Ramadan Raya 2025, di sini, semalam.

Kongsi Azhan, dia juga pernah menolak tawaran membintangi drama Nur 2 kerana tidak mahu dilihat terlalu ‘klise’, tetapi terpaksa menjayakan drama berkenaan atas permintaan ramai.

Bagaimanapun, Azhan berkata, dia meminta Shahrulezad mematikan karakter Ustaz Hamadi kerana bimbang penonton muak dengan watak berkenaan.

“Pada usia yang hampir meniti senja saya nak cuba pelbagai watak tak pernah dibawakan.

“Saya sampai minta pada Shahrulezad untuk cipta karakter baharu, itulah yang lahirnya drama Khunsa dan terbaharu, Seribu Tahun, watak yang semakin lama makin berat dan mencabar.

“Saya okay untuk bawakan watak ustaz, tapi bergantung dari sudut ‘angle’. Kalau isu sama dan klise, saya akan tolak, tapi kalau jalan ceritanya berbeza, saya tiada masalah untuk pertimbangkan,” katanya.

Terbaharu, Azhan bakal muncul dalam drama rantaian di platform penstriman Unifi TV bersama Sharifah Sakinah menerusi drama Wok sempena Ramadan ini.

Azhan berkata, dia sudah bersedia untuk dibenci kerana watak Deris lebih menjijikkan daripada Ustaz Hamadi.

Katanya, Deris bukanlah seorang ustaz, sebaliknya banduan yang ingin berubah, tetapi sering tewas setiap kali nafsu menguasai diri. Bagaimanapun, Azhan memuji Sharifah Sakinah sangat profesional.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top