Azam bantu Dr Joohari bangunkan Sungai Bakap

am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berazam membantu membawa projek pembangunan diperlukan di Sungai Bakap sekiranya calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin diangkat menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun), Sabtu ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kawasan Sungai Bakap dikategorikan luar bandar yang menjadi tumpuan kementerian itu.

Katanya, ini termasuk pembinaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang belum ada di kawasan daerah Seberang Perai Selatan termasuk Sungai Bakap dan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

“Kemenangan calon Kerajaan Perpaduan sangat penting kepada kerajaan Madani sebab kemenangan PH adalah kemenangan kepada BN dan UMNO juga.

“Saya (juga) berazam jika pengundi Sungai Bakap memberi kemenangan (kepada Joohari) saya akan datang balik bantu Cikgu Joohari untuk bawa pembangunan ke Sungai Bakap ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Kasih Bersama Pemimpin di Sungai Kechil, di sini, malam tadi.

Menurutnya, kenyataan itu bukan sekadar janji pilihan raya, namun tekadnya dalam membantu penduduk Sungai Bakap.

Dalam membantu kemenangan itu, katanya jentera BN yang turun padang berkempen bukan hanya membabitkan jentera negeri itu bahkan seluruh negara.

“Saya juga ingin mengingatkan Cikgu Joohari apabila menang nanti dan berada di atas, jangan lupa kepada mereka di bawah yang telah menyokong,” katanya.

PRK Dun Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

© New Straits Times Press (M) Bhd