Awie tumpang gembira, nasihat Erra fikir masa depan

Awie tumpang gembira, nasihat Erra fikir masa depan

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Umur pun makin meningkat, jadi lebih baik ada teman hidup untuk saling menjaga dan melengkapi.”

Demikian kata pelakon dan penyanyi Datuk Awie mengenai hubungan rakan baiknya, Erra Fazira, yang kini dikatakan semakin rapat dengan usahawan Ezwan Zain atau lebih dikenali sebagai Mr E.

Awie atau nama sebenarnya, Azhar Othman berkata, sudah tiba masanya Erra kembali berumah tangga selepas sekian lama hidup sendiri.

“Kalau betul mereka serius, Alhamdulillah. Jangan buang masa. Fikirkan masa depan yang lebih baik dan nikmati hidup dengan aman serta bahagia,” katanya.

Dalam masa sama, vokalis kumpulan Wings itu turut menasihatkan agar Erra terus melangkah ke fasa baharu dan membina kehidupan dengan pasangan yang lebih memahami dirinya.

“Jangan buang-buang masa lagi. Fikir masa depan yang baik dan hidup dalam keadaan aman, damai dan berkasih sayang. Yang lama dibuang dan hidup yang baharu,” katanya.

Biarpun hanya mengetahui hubungan Erra dan Mr E menerusi media sosial, namun Awie menyifatkan mereka sebagai pasangan yang cukup serasi.

“Erra tak beritahu saya mengenai hubungannya itu. Saya dapat tahu pun menerusi media sosial.

“Saya nampak lelaki ini muda sedikit dari Erra. Saya rasa mereka sangat serasi kerana Erra seperti keras sikit, manakala lelaki ini pula seorang yang lebih tenang.

“Dalam kekerasan, ada ketenangan di situ,” katanya.

Teruja dengan perhubungan itu, Awie turut merakamkan ucapan Selamat Pengantin Baharu lebih awal kepada pasangan itu. Selamat maju jaya, Erra… dan selamat pengantin baru ‘in-advance’,” katanya berseloroh.

Terdahulu, media melaporkan Ezwan yang juga ahli perniagaan mengakui hubungannya dengan Erra yang mula terjalin sejak Ogos tahun lalu, semakin serius.

Kemudian Ezwan mendedahkan, dia merancang membawa hubungan ke fasa lebih baik seperti diharapkan ramai orang.

Erra juga dilaporkan menyokong kenyataan Ezwan dan berharap semua urusan dipermudahkan tanpa sebarang tekanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top