Awas! Anda diperhatikan 531 'mata langit' di Putrajaya

Awas! Anda diperhatikan 531 'mata langit' di Putrajaya

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Jangan berani melakukan jenayah atau maksiat di pusat pentadbiran kerajaan di sini, berikutan anda sentiasa diperhatikan 531 kamera litar tertutup (CCTV) yang beroperasi 24 jam sehari.

Malah aktiviti memancing di tasik secara haram, membuang sampah sesuka hati, langgar lampu isyarat merah, meletak kenderaan di kawasan larangan, mencuri kenderaan serta perbuatan menyalahi undang-undang turut akan dipantau dan dirakam CCTV.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud, berkata, sistem pemantauan ini dikendalikan oleh Putrajaya Command Centre (PCC) bertujuan meneliti dan mengawasi sebarang aktiviti di kawasan awam.

Menurutnya, ia turut membabitkan kerjasama Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak berkuasa PPj, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan unit kecemasan Hospital Putrajaya yang akan memberi tindakbalas pantas jika berlaku kecemasan.

“Walaupun kesalahan dilakukan amat kecil, ia tetap dapat dikesan melalui sistem ini yang menggunakan teknologi pemprosesan imej beresolusi tinggi dan video masa nyata.

“Dengan adanya CCTV ini, pihak berkuasa PCC dapat bertindak segera terhadap sebarang pelanggaran undang-undang bagi memastikan Putrajaya kekal sebagai bandar yang selamat dan teratur,” katanya.

PCC diwujudkan susulan insiden tembakan Timbalan Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim, pada 2013 yang berfungsi melalui rangkaian PUTRANET menghubungkan 20 presint bagi membolehkan penghantaran data audio, video dan metadata untuk pemantauan lebih efisien.

Fadlun berkata, kakitangan yang bertugas di PCC akan memberi respon dan peringatan kepada individu yang melakukan kesalahan melalui pembesar suara yang dipasang di kawasan itu.

Menurutnya, PCC ini terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan keselamatan dan kecekapan bandar dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Katanya, PCC kini mampu mengesan kualiti air tasik menggunakan alat pengesan hujan serta data pokok bagi membantu mengenal pasti pokok yang mencapai usia matang dan perlu ditebang bagi mengurangkan risiko tumbang serta mengelakkan kemalangan.

“Susulan insiden banjir kilat berlaku pada Disember lalu yang menenggelamkan 20 kenderaan di Presint 11, PPj memasang CCTV di kawasan Sungai Gajah, bermula dari Pasar Borong Selangor bagi memantau paras air ketika hujan lebat,”katanya.

Selain itu, PCC turut berfungsi dalam mengawal aliran trafik dengan menyesuaikan lampu isyarat berdasarkan jumlah kenderaan di sesuatu kawasan, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya.

Bagi meningkatkan keselamatan awam, sebanyak 93 butang panik (panic button) telah dipasang di lokasi strategik dan individu yang menghadapi kecemasan boleh berhubung terus dengan kakitangan PCC untuk mendapatkan bantuan segera.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top