Penyanyi Aina Abdul, 30, mendedahkan dia ‘menganak tirikan’ lagu Puas Sudah berbanding lagu Kamu.
Pada awalnya, Aina meletakkan lebih banyak harapan kepada lagu Kamu berbanding Puas Sudah untuk melayakkan diri ke Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-39 (SFMM39), namun perkara sebaliknya berlaku.
“Tahun ini, saya mencalonkan dua lagu iaitu Puas Sudah dan Kamu di Muzik-Muzik 39. Sejujurnya, saya merasakan saya sendiri ‘menganak tirikan’ lagu Puas Sudah sebab saya sudah cakap pada diri saya sendiri, jika dapat masuk SFMM39, saya nak lagu Kamu.
“Akhirnya, hanya Puas Sudah yang layak ke peringkat seterusnya. Apabila tahu Puas Sudah layak ke SFMM 39, hari-hari saya dengar lagu saya sendiri.
“Saya juga memahami apa yang saya tulis dalam Puas Sudah, jadi apa yang saya persembahkan malam ini adalah hadiah untuk lagu ini. Saya bersyukur Puas Sudah berjaya ke Anugerah Juara Lagu 39 (AJL 39),” katanya yang tampul dengan busana berbentuk hati rekaan Melinda Looi.
Aina ditemui XTRA usai sidang media SFMM39 di Studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH 36 ini juga mempunyai rasa bersalah kerana tidak bersungguh-sungguh metakkan harapan terhadap Puas Sudah.
Ini kerana Aina risau dengan pandangan yang mengatakan dia hanya mempertaruhkan lagu balada semata-maga.
“Saya risau akan ada yang cakap Aina Abdul hanya bawa lagu balada sahaja. Jika difikirkan semula, memang saya penyanyi lagu balada. Jadi, tak kisah karya apa yang ke depan, ia tetap karya saya.
“Jadi apa yang saya bagi hari ini, saya bagi lebih. Alhamdulillah persembahan hari ini berjaya dan saya memberikan sepenuhnya,” katanya yang menjanjikan persembahan terbaik di AJL 39.