Atomy Malaysia salur bantuan kepada mangsa banjir

Atomy Malaysia salur bantuan kepada mangsa banjir

sudirman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Atomy Malaysia menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan asas bernilai RM70,000 kepada lebih 170 mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti, Pasir Mas, Kelantan.

Atomy dalam satu kenyataan berkata, penerima terdiri pelbagai agama, kaum dan bangsa, dengan kebanyakannya berasal daripada golongan B40.

“Ribuan mangsa menghadapi kesukaran mendapatkan makanan, keperluan harian, dan bantuan lain. Menyedari keperitan yang dialami, Atomy Malaysia, selaras dengan budaya perkongsiannya, tampil menunjukkan komitmen kukuh kepada masyarakat dengan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

“Sumbangan berupa produk keperluan asas yang bernilai RM70,000 disalurkan kepada lebih 170 penerima di kawasan DUN Meranti, yang menjadi antara kawasan yang paling terkesan akibat banjir. Penerima terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum, dan agama, dengan kebanyakannya berasal daripada golongan B40,” katanya.

Majlis penyerahan bantuan diadakan pada 11 Disember lalu itu disampaikan oleh Pengarah Atomy Malaysia, Kea Wong bersama wakil Atomy Kota Bharu Anggun Centre Rosliza Omar.

Menurut kenyataan sama, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban penduduk yang terjejas.

“Diharapkan, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir dan membantu mereka untuk bangkit semula daripada bencana yang melanda.

“Atomy Malaysia komited untuk terus melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) demi kesejahteraan masyarakat, khususnya ketika menghadapi situasi mencabar seperti bencana alam.

“Pihak syarikat turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan inisiatif ini dan berharap usaha murni sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top