
Diego Simeone – Foto: Agensi
PENGENDALI kelab La Liga Sepanyol, Diego Simeone menegaskan bahawa Atletico Madrid masih berada di landasan yang baik meskipun pasukannya mengalami empat kekalahan dan satu keputusan seri dalam lima perlawanan terakhir dalam semua pertandingan musim ini.
Atletico menerima tamparan hebat dalam perlumbaan merebut kejuaraan La Liga selepas tewas 2-4 kepada Barcelona di laman sendiri, sebelum sekadar seri 1-1 menentang Espanyol yang sedang bergelut dengan ancaman penyingkiran.
Kekalahan tersebut menyaksikan Rojiblancos kini sembilan mata di belakang pendahulu Barcelona dan enam mata di belakang Real Madrid yang berada di tempat kedua, dengan baki sembilan perlawanan musim ini.
Atletico bakal menjadi tuan rumah kepada Barcelona dalam aksi separuh akhir kedua Piala Raja Sepanyol, dengan kedudukan agregat terikat 4-4 selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol dalam perlawanan pertama.
“Saya bercakap berdasarkan perasaan saya. Pasukan ini sedang menjalani musim yang sangat baik. Kami bersaing dengan baik dalam Liga Juara-Juara (walaupun tersingkir di pusingan 16) dan sedang beraksi cemerlang dalam liga. Kami sentiasa fokus satu perlawanan pada satu masa.
“Kami perlu teruskan seperti biasa, dengan semangat dan kegembiraan. Sama seperti cara kami bekerja dalam perlawanan pertama menentang Malaga,” kata Simeone.
PIALA RAJA SEPANYOL
KHAMIS (3 APRIL)
Atletico Madrid (4) lwn (4) Barcelona
(Riyadh Air Metropolitano. 3.30 pagi)
* Dalam kurungan keputusan separuh akhir pertama