Atlet ping pong SUK Kedah meninggal dunia

Atlet ping pong SUK Kedah meninggal dunia

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Atlet ping pong kontinjen Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah yang menyertai Temasya Sukan SUK Se-Malaysia ke-9 (SUKSEM IX) meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, malam tadi.

Pembantu am Pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Abdul Halim Md Daud, 54, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di HSNZ kira-kira 9.15 malam.

Allahyarham yang sebelum itu tidak sedarkan diri selepas menamatkan acara bagi kategori veteran dalam perlawanan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Daerah Kuala Nerus, petang semalam dikejarkan ke Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HoSZA)

Pegawai Perhubungan Kontinjen SUK Kedah, Muhammad Shafiee Abdullah berkata, Allahyarham pada mulanya mengadu tidak sedap badan ketika berehat selepas menamatkan acara bagi kategori veteran.

“Allahyarham kemudian dipindahkan dari HoSZA ke HSNZ kira-kira 6.20 petang untuk menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, SUK Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk SUKSEM IX Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa

“Seluruh pengurusan SUKSEM IX merakam takziah kepada keluarga mangsa dan buat semua kontinjen SUK Kedah.

“Kita harap keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan reda dengan kehilangan insan tersayang,” katanya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham sudah dituntut oleh ahli keluarganya yang tiba di Kuala Terengganu, malam tadi umtuk urusan pengebumian di Alor Setar.

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan rakan-rakan pasukan kontinjen dari Kedah atas pemergian Allahyarham.

“Dukacita menerima berita pemergian saudara Abdul Halim Md Daud yang merupakan pemain ping pong kontinjen SUK Kedah.

“Moga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” katanya menerusi hantaran Facebook, pagi ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top