Atlet para mampu cemerlang di Sukan Paralimpik 2024

Atlet para mampu cemerlang di Sukan Paralimpik 2024

SEPANG: Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail percaya atlet para negara mampu meneruskan rentak cemerlang di Sukan Paralimpik Paris pada tahun hadapan.

Dr. Wan Azizah berkata, keyakinan itu berdasarkan kejayaan kontinjen negara yang melakar pencapaian gemilang di Sukan Para Asia Hangzhou dengan membawa pulang 39 pingat.

Katanya, beliau juga berbangga dengan kejayaan dilakar atlet para negara yang berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan berbekalkan semangat dan tekad yang tinggi.

“Kita doakan mereka terus sihat. Pencapaian ini boleh diteruskan (di Sukan Paralimpik Paris) jika semua atlet mempunyai tekad dan semangat selain dorongan serta sokongan daripada menteri (Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh).

“Saya harap mereka terus diberikan sokongan dan dorongan, Insya-Allah. Kita teruskan beri semangat kepada mereka. Kadang-kaang hidup ini ada pasang surut tapi kita mahu mampu mengatasi segala halangan itu,” kata Wan Azizah.

Terdahulu Dr. Wan Azizah menyambut ketibaan atlet para negara yang tiba menerusi penerbangan sewa khas MH8839 dan komersial MH377 yang masing-masing tiba kira-kira jam 8.07 malam (dari Hangzhou) dan 8.23 malam (dari Guangzhou).

Sejurus keluar dari Balai Ketibaan, Dr. Wan Azizah bersama Hannah turut menyampaikan plak cenderahati kepada semua 39 atlet yang berjaya memenangi pingat di Sukan Para Asia Hangzhou.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri, Adam Adli Abd Halim, Presiden Majlis Paralimpik (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Malaysia mengakhiri saingan di Hangzhou dengan mengumpul 39 pingat merangkumi tujuh pingat emas, 15 perak dan 17 gangsa, sekali gus melepasi sasaran 35 pingat secara keseluruhan ditetapkan sebelum ini.- UTUSAN ONLINE

 

Scroll to Top