Asyraf Wajdi terjah MRSM Langkawi pula

Asyraf Wajdi terjah MRSM Langkawi pula

am@hmetro.com.my

Langkawi: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki turun padang ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi, di sini, bagi memeriksa tandas dan beberapa fasiliti di sekolah itu, semalam.

Ketika pemeriksaan itu, beliau turut dikejutkan apabila satu pintu tandas tumbang sebaik disentuh selain beberapa tandas lain tiada pintu, selain lampu dan sinki tidak berfungsi.

Perkongsian beliau di laman sosial Facebook dan TikTok itu memaklumkan kehadirannya di luar pengetahuan pengurusan MRSM Langkawi berikutan banyak aduan diterima daripada ibu bapa pelajar.

“Call (telefon) pengetua beritahu saya sampai. Terpinga-pinga pengawal keselamatan tatkala saya tiba di pondok pengawal. Nasib baik dia tak tanya banyak seperti di MRSM lain sebab dia cam saya.

“Memang saya tak maklumkan langsung kehadiran saya kerana pagi tadi (semalam) sengaja saya ambil flight (penerbangan) ke Langkawi untuk #TerjahMRSM Langkawi, sebelum naik bot ke Kuala Perlis mengadap Raja Perlis sebelah tengah hari,” katanya.

Beliau berkata, antara aduan diterima termasuk kerosakan tandas yang berlarutan, masalah bekalan air yang meruncing, tray makanan tidak dicuci sempurna dan lain-lain isu membabitkan kebajikan pelajar.

“Ternyata sebahagian aduan mereka ada kebenarannya. Berkali-kali saya pesan pada pihak pengurusan MRSM mahupun Institusi Pendidikan MARA lain agar beri keutamaan permohonan peruntukan untuk penyelenggaraan fasiliti asas yang membabitkan kebajikan pelajar dan guru termasuk tandas, peralatan belajar, asrama serta kelas.

“Masalah air di Pulau Langkawi yang tiada berkesudahan juga menyebabkan pihak Majlis Mara dan pengurusan telahpun meluluskan peruntukan khas bagi memastikan bekalan air tidak putus seperti penambahan tong menyimpan air dan juga membiayai kos lori air Syarikat Air Darul Aman (Sada),” tulisnya dalam Facebook.

Pada akhir perkongsian itu, Asyraf Wajdi berdoa dan yakin MRSM Langkawi kembali menjadi MRSM terbaik untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan datang menerusi komitmen guru dan sikap positif pelajar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top