Aston Martin tagih magis Newey

Aston Martin tagih magis Newey

Jeddah: Pereka lagenda Formula Satu (F1), Adrian Newey, kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan jentera Aston Martin bagi musim 2026, selepas menyertai pasukan itu dari Red Bull pada Mac lalu – meskipun Aston Martin sedang bergelut dengan prestasi hambar musim ini.

Ketua pasukan, Andy Cowell, mendedahkan perkara itu kepada media sempena Grand Prix (GP) Arab Saudi, sambil menyatakan Newey masih boleh memberi pengaruh tidak langsung terhadap jentera 2025 melalui kajian korelasi terowong angin.

“Seratus peratus masa rekaan Adrian kini tertumpu kepada kereta 2026,” tegas Cowell.

“Ada satu tempoh di mana beliau perlu menyesuaikan diri dengan peraturan baharu, serta konsep awal yang kami usahakan beberapa bulan sebelum ini. Sekarang kami berkejar dengan tarikh akhir yang agak ketat.”

Cowell turut menjelaskan bahawa ujian pertama kereta baharu dijadualkan pada akhir Januari 2026, dan oleh itu banyak keputusan perlu dimuktamadkan lebih awal kerana tiada satu komponen pun yang boleh dikitar semula dari spesifikasi lama.

Aston Martin kini berada di kedudukan ketujuh daripada sepuluh pasukan – satu permulaan mengecewakan buat pasukan yang selesai di tempat kelima dua musim berturut-turut (2023 & 2024).

Fernando Alonso belum mencatat sebarang mata dalam empat perlumbaan, manakala Lance Stroll pula gagal menambah mata dalam dua perlumbaan terakhir.

Pemilik pasukan, Lawrence Stroll, yang juga seorang hartawan Kanada, melabur besar dari segi fasiliti dan bakat kejuruteraan, dengan misi jangka panjang untuk menjuarai kejuaraan dunia.

Musim 2026 akan menyaksikan era enjin baharu dalam F1, dengan Aston Martin beralih daripada Mercedes kepada kerjasama eksklusif bersama Honda – langkah strategik yang turut mempengaruhi reka bentuk jentera baharu mereka.

Pasukan yang berpangkalan di Silverstone itu kini memiliki terowong angin baharu yang sudah beroperasi penuh sejak awal musim, dan Cowell berkata, data dari fasiliti itu menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top