Asteroid hentam bumi pada 2032?

Asteroid hentam bumi pada 2032?

Washington: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) giat membuat persiapan kecemasan bagi menangani jangkaan asteroid menghentam bumi pada 2032.

Portal Mirror.co.uk melaporkan, ketika ini, stesen angkasa di seluruh dunia bergabung untuk membuat keputusan pantas mengenai asteroid besar yang meluncur ke arah bumi.

Ahli astronomi menganggarkan, asteroid 2024 YR4 mempunyai peluang satu dalam 43 untuk merempuh bumi 2032.

Batuan angkasa lepas yang sangat besar, saiznya setanding dengan planet kecil, berpotensi melenyapkan seluruh bandar jika ia menghentam bumi.

Memandangkan ancaman yang ketara, Teleskop Angkasa James Webb (JWST) disediakan untuk diakses saintis antarabangsa bagi menilai potensi kemusnahan dan menyusun strategi pelan tindak balas.

Walaupun JWST ialah instrumen milik Nasa yang biasanya dikhaskan untuk kegunaan Amerika, pakar kini akan menggunakannya untuk memastikan dimensi tepat 2024 YR4 dan memuktamadkan trajektori orbitnya.

Pakar bimbang, asteroid itu berukuran sehingga 90 meter melintang, menyamai ketinggian Big Ben yang ikonik di London.

Dimensi sedemikian dianggarkan memberi kesan dengan kuasa peristiwa Tunguska, yang meratakan 2,150 kilometer persegi hutan Siberia pada 1908.

Seorang pemburu asteroid, David Rankin pada mulanya mengesan imej asteroid 2024 YR4 menerusi data Catalina Sky Survey sebelum imej arkib rasminya diambil ahli astronomi.

Menurut Space.com, kemungkinan pada mulanya adalah satu dalam 83, tetapi kini meningkat kepada satu dalam 43.

Walaupun pada 2024 YR4 berlanggar dengan bumi, saintis menganggarkan ia boleh melepaskan letupan bersamaan 15 megaton TNT iaitu 100 kali lebih letupan daripada bom nuklear Hiroshima yang membunuh antara 100,000 hingga 180,000 individu.

Asteroid ini mencatatkan kebarangkalian perlanggaran tertinggi pernah berlaku pada carta Agensi Angkasa Eropah (ESA), meroket terus ke bahagian atas senarai risiko asteroid mereka.

Sebagai perbandingan, asteroid kedua paling mengancam hanya mempunyai peluang kecil 0.68 peratus untuk menghancurkan bumi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top