“Asni Mansor hanya tetamu jemputan..”-DJ Lin minta henti spekulasi babitkan PU Azman

“Asni Mansor hanya tetamu jemputan..”-DJ Lin minta henti spekulasi babitkan PU Azman

Hari ini, kemunculan pendakwah bebas Asni Mansor menerusi segmen Morning Morning Suria menjadi bualan panas apabila ramai bertanyakan akan keberadaan Pencetus Ummah (PU) Azman yang sepatutnya mengendalikan segmen tersebut.

Malah, ada yang sanggup membuat spekulasi dan andaian sendiri ketiadaan PU Azman dalam segmen tersebut adalah disebabkan oleh desas-desus mengaitkan dirinya dalam satu kes jenayah amang seksual yang sedang hebat diperkatakan ketika ini.

Tidak berdiam diri, Pengurus Besar Suria FM tampil bersuara dan meminta para pendengar menghentikan spekulasi berkenaan termasuk membuat sebarang andaian berhubung segmen berkenaan.

“Buat masa ini, pihak Suria FM memang mengetengahkan atau menjemput beberapa ustaz atau ustazah untuk ke udara setiap hari Jumaat  kerana kita tak mahu segmen itu kosong.
“Pengisian program kena terus berjalan kerana segmen tersebut memiliki pengikutnya yang tersendiri pada setiap Jumaat,”ujar DJ Lin.

DJ Lin berkata, segmen berkenaan adalah laluan untuk para pendengar mengajukan sebarang kemusykilan tentang agama dan ia akan dijawab oleh ustaz atau ustazah yang dijemput hadir ke segmen tersebut.

“Segmen itu memang kita beri laluan kepada ustaz atau ustazah berkaliber untuk menjawab sebarang soalan atau kemusykilan berkaitan keagamaan dalam kalangan pendengar.
“Jadi, kita tetap teruskan dan mengundang beberapa tetamu jemputan supaya setiap pagi Jumaat pendengar mendapat manfaat daripada perkongsian pendakwah yang dibawakan ke konti radio,”jelas.

Dalam pada itu, DJ Lin mengatakan minggu ini ada Ustazah Asni Mansor dan minggu berikutnya berkemungkinan ada ustaz atau ustazah lain yang hadir untuk membantu masalah pendengar tentang agama Islam.

Disoal mengenai ketiadaan PU Azman pula, DJ Lin berkata pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi dalam masa terdekat ini.

Sumber: mStar (Maszuhaira Sarimin)

Scroll to Top