Birmingham, England: Aston Villa mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menewaskan Club Brugge 3-0 pada aksi kedua peringkat 16 terakhir untuk kemenangan agregat 6-1 sekali gus menempah pertembungan sukar dengan Paris St Germain.
Marco Asensio yang dipinjamkan dari PSG muncul wira dengan dua gol pantas sejurus dimasukkan daripada bangku simpanan selepas rehat.
“Sangat gembira dengan kemenangan ini,” katanya. “Kami mahu lebih lagi. Sekarang kami ada sedikit waktu rehat dan fikir objektif seterusnya.”
Ketinggalan 1-3 pada aksi pertama di tempat sendiri, Brugge bermula dengan lebih garang dan mencemaskan kubu tuan rumah termasuk tandukan Hans Vanaken yang menggamatkan penyokong mereka.
Namun cabaran kelab Belgium itu mula kendur sejurus Kyriani Sabbe dibuang padang apabila menjatuhkan Marcus Rashford yang cuba menjaringkan gol pada minit ke-16.
Skuad Unai Emery memanfaatkan peluang pada babak kedua dan Asensio menjaringkan gol pertama dari jarak dekat pada minit ke-50 selepas mendapat hantaran Leon Bailey.
Ian Maatsen menambah gol kedua tujuh minit kemudian selepas rembatannya terkena pemain lawan dan Asensio melengkapkan kemenangan Villa pada minit ke-61.
Asensio kini menjaringkan tujuh gol untuk Villa sejak tiba di kelab itu pada awal Februari.
Kembali beraksi di kejohanan elit Eropah buat kali pertama sejak lebih empat dekad, Villa perlu berada pada tahap jauh lebih baik jika mahu menewaskan juara Perancis, PSG yang menewaskan Liverpool menerusi penentuan penalti di Anfield, semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd