Asean, Turkiye sepakat kerjasama tangani isu kemanusiaan, bangunkan semula Gaza

Asean, Turkiye sepakat kerjasama tangani isu kemanusiaan, bangunkan semula Gaza

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Asean dan Turkiye sepakat bekerjasama dalam isu kemanusiaan dan pembangunan semula Gaza sebagai usaha membantu meringankan penderitaan ditanggung penduduk Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia yang menerajui Asean tahun ini komited dalam proses pembinaan semula Gaza dan memastikan sokongan yang diberikan adalah mencukupi.

“Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) bulan lalu mengadakan perbincangan dengan semua menteri luar (Asean) di mana mereka mengulangi pendirian terbabit (membangunkan semula Gaza).

“Kita akan meneruskan usaha ini supaya kita dapat memberikan sokongan yang mencukupi termasuk juga inisiatif Jepun yang mana Malaysia menjadi Pengerusi Bersama bagi pembinaan semula Gaza dengan segera,” katanya pada sidang media bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana Malaysia sebagai Pengerusi Asean melihat peranan Turkiye menyumbang kerjasama dalam pembinaan semula Gaza.

Malaysia sebelum ini menyokong penuh dan menyatakan komitmen terhadap inisiatif Jepun menganjurkan persidangan mengenai kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai ini, khususnya berkaitan pembangunan semula Gaza.

CEAPAD adalah kerangka persidangan serantau yang dimulakan Jepun pada 2013 untuk menyokong usaha pembangunan Palestin dengan memanfaatkan sumber, pengetahuan dan pengalaman pembangunan ekonomi negara Asia Timur.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkara berkaitan Gaza dan Palestin turut membabitkan isu politik, pengusiran, tanah, harta benda dan kediaman dirampas yang perlu diselesaikan.

“Anda lihat apa yang dipanggil sebagai gencatan senjata ini, tetapi kemudian anda boleh terus melihat kekerasan dan pencerobohan Israel.

“Seperti yang saya katakan, ini adalah penjajahan, berapa banyak rundingan yang boleh lakukan apabila penjajah belum berundur? Itu satu prinsip,” katanya.

Sementara itu, Erdogan yang menyatakan sokongan terhadap pembangunan semula Gaza menjelaskan, Malaysia dan Turkiye mempunyai pendirian sama dalam memberikan pelbagai bentuk sokongan termasuk dari segi kewangan.

Katanya, ia penting untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas yang diperlukan untuk memulihkan semula kehidupan penduduk Palestin.

“Saya percaya bahawa kedua-dua negara mempunyai pendirian yang sama dalam hal sokongan kewangan dan bahawa kita dapat memberikan segala bentuk bantuan kewangan yang diperlukan. Kita sudah membincangkan perkara ini selama bertahun-tahun.

“Bukan saja di Palestin, tetapi juga di Syria, infrastruktur dan kemudahan asas musnah sepenuhnya. Keadaan di sana amat teruk dan memerlukan pemulihan segera dan dalam langkah yang akan kita ambil, kita perlu menilai apa yang boleh dilakukan dalam aspek pembangunan semula infrastruktur dan kemudahan asas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top