PETALING JAYA: ASEAN sebulat suara menolak sebarang bentuk tarif yang dikenakan secara unilateral kerana ia bercanggah dengan prinsip perdagangan bebas dan multilateralisme, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada akhir lawatan kerja dua hari ke Thailand, hari ini, selepas mengadakan perbincangan bersama rakan sejawatnya, Paetongtarn Shinawatra berhubung tarif baharu yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menurut Anwar, Mesyuarat Menteri Perdagangan dan Kewangan ASEAN yang berlangsung baru-baru ini turut menyentuh perkara tersebut sebagai sebahagian daripada persediaan rundingan lanjut dengan AS.
“Kita telah membentuk konsensus ASEAN. ASEAN menyokong perdagangan bebas dan multilateralisme.
“Kita mengambil pendirian tidak bersetuju dengan sebarang pengenaan tarif secara unilateral kerana ia bertentangan dengan semangat dan prinsip perjanjian pelbagai hala,” katanya.
Tambah beliau, pendirian tegas ini mencerminkan suara kolektif ASEAN dalam menentang tindakan AS tersebut.
Tambah Anwar, pendirian ASEAN turut disokong rakan serantau utama seperti Jepun dan New Zealand.
“Saya berbesar hati apabila Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba dan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon turut menyuarakan komitmen terhadap mekanisme pelbagai hala dan bersetuju untuk mengadakan dialog bersama AS,” ujarnya.
Sebelum ini, ASEAN dan Malaysia tidak akan mengambil tindakan balas terhadap pengenaan tarif yang dilaksanakan oleh pentadbiran Trump pada 3 April lalu.
Tarif minimum 10 peratus dikenakan ke atas semua import ke AS di bawah dasar perdagangan timbal balik.
Negara-negara Indochina seperti Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar menjadi antara yang paling terjejas dengan kadar tarif gabungan tertinggi manakala Malaysia turut dikenakan tarif sebanyak 24 peratus.
Bagaimanapun, tarif timbal balik tersebut kini ditangguhkan selama 90 hari kecuali bagi tarif ke atas China yang kekal berkuat kuasa. – UTUSAN