TAIPEI: Amerika Syarikat (AS) perlu mengiktiraf Taiwan sebagai ‘negara yang bebas dan berdaulat’ secara diplomatik, kata bekas Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dalam ucapannya ketika melawat negara itu.
Pompeo yang juga antara penasihat mengenai China kepada bekas Presiden AS, Donald Trump, tiba di Taiwan Rabu lalu, ketika peningkatan ketegangan antara Washington dan Beijing akibat negara pulau itu serta krisis pencerobohan Russia di Ukraine.
Pompeo berkata, meskipun Washington perlu terus berkomunikasi dengan Beijing sebagai kerajaan berdaulat, tawaran pengiktirafan diplomatik kepada Taipei ‘tidak boleh diketepi, dielak atau dilihat sebagai perkara kedua’.
“Saya berpandangan kerajaan AS perlu segera mengambil langkah yang sudah lama ditunggu-tunggu, iaitu menawarkan Republik China (Taiwan) pengiktirafan diplomatik AS sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat,” katanya.
Republik China adalah nama rasmi Taiwan.
Washington kekal sebagai sekutu paling penting bagi Taiwan dan pembekal senjata utama, meskipun mengubah pengiktirafan diplomatik kepada Beijing pada 1979.
Namun, Pompeo menegaskan langkah itu ‘bukan menjurus pada kemerdekaan Taiwan pada masa depan, namun ia mengenai mengiktiraf realiti yang sudah sedia wujud’.
China menuntut Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya yang akan dikuasai suatu hari nanti, termasuk melalui kekerasan jika perlu.
Beijing menganggap pengisytiharan kemerdekaan secara formal sebagai sesuatu yang melanggar batasan, dan memberi amaran bahawa langkah seumpamanya boleh membawa kepada peperangan.
Pemimpin semasa Taiwan, Tsai Ing-wen, datang daripada parti yang secara sejarahnya memilih untuk kemerdekaan Taiwan, namun pendirian peribadinya tidak dinyatakan secara jelas.
Ing-wen sebelum ini dilaporkan berkata, tiada keperluan untuk mengisytiharkan kemerdekaan kerana Taiwan sudah pun menjadi negara yang berdaulat dikenali sebagai Republik China (Taiwan). – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd