AS lancar serangan ke Yaman, balas dendam Houthi serang Israel

AS lancar serangan ke Yaman, balas dendam Houthi serang Israel

SANAA : Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas beberapa sasaran di ibu negara Yaman yang dikuasai pemberontak Houthi semalam, beberapa jam selepas peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan itu mencederakan 16 individu di Tel Aviv, hab komersial Israel.

Serangan tersebut adalah kali kedua dalam tempoh dua hari, dengan pemberontak Houthi mendakwa bertanggungjawab melancarkan peluru berpandu balistik ke arah sasaran ketenteraan Israel.

Menurut kenyataan Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), antara sasaran serangan adalah pusat simpanan peluru berpandu serta kemudahan kawalan dan arahan pemberontak.

Pasukan AS turut memintas beberapa dron Houthi dan peluru berpandu anti-kapal di Laut Merah.

Saluran televisyen Al-Masirah milik Houthi melaporkan serangan itu menyasarkan daerah Attan di Sanaa, yang didakwa dilakukan oleh tentera Barat.

Kumpulan pemberontak yang disokong Iran itu mengulangi serangan ke atas Israel sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin sejak peperangan di Gaza bermula lebih setahun lalu.

Bagaimanapun, kebanyakan serangan berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel.

Tentera Israel mengakui peluru berpandu dari Yaman itu tidak dapat dipintas sepenuhnya, menyebabkan kawasan perumahan di Tel Aviv terjejas.

Letupan mengakibatkan kerosakan besar pada bangunan berhampiran serta mencederakan penduduk akibat serpihan kaca.

Amerika Syarikat dan Britain beberapa kali menyerang sasaran Houthi tahun ini, bagi membalas serangan ke atas kapal dagang di kawasan Laut Merah yang penting untuk perdagangan global.-AGENSI

Scroll to Top