WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) telah menghantar kira-kira 1,800 bom berat MK-84 kepada sekutu kuatnya, Israel, sekali gus menamatkan langkah pembekuan selama hampir sembilan bulan yang dilakukan pentadbiran bekas Presiden Joe Biden.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada akhir minggu lalu mengesahkan sebuah kapal membawa bom tidak berpandu seberat 900 kilogram telah tiba di Pelabuhan Ashdod dan dipindahkan dengan konvoi trak yang menuju ke pangkalan tentera udara.
Menteri Perang, Israel Katz menyifatkan penghantaran bekalan senjata oleh pentadbiran Presiden Donald Trump itu sebagai ‘aset penting’ buat IDF yang semestinya akan digunakan untuk memporak-perandakan situasi di Asia Barat.

Trump (kiri) membuat penghantaran itu selepas beliau bertemu Netanyahu di Washington pada awal bulan lalu. Foto Agensi
Difahamkan, bantuan itu pada mulanya digantung Biden pada Mei 2024 atas kebimbangan jika ia digunakan untuk kempen pengeboman ke atas Genting Gaza memandangkan perang genosid terus diperhebatkan pada masa tersebut.
Washington bagaimanapun terus mempersenjatai IDF dengan bekalan senjata lain yang bernilai berbilion dolar.
Pada bulan lalu, Trump menarik balik larangan eksport ‘senjata maut’ kepada Israel apabila Presiden ke-47 AS itu menyatakan, ‘Israel akan tetap memilikinya’.
MK-84 atau dikenali sebagai ‘hammer’ adalah bom pesawat serba guna yang berupaya menembusi sasaran bertetulang dan mengakibatkan kemusnahan berskala besar dengan impak letupan yang kuat.
Sebagai respons, pertubuhan hak asasi manusia termasuk Tindakan Keganasan Bersenjata (AOAV) telah memberi amaran keras jika ia digunakan di kawasan penempatan kerana berisiko menyebabkan kematian yang dahsyat dan kebinasaan infrastruktur jangka panjang.
“Sejarah pengguguran bom dari udara seperti MK-84 akan membawa kesan malapetaka dan membahayakan nyawa orang awam. Perlu ada penekanan yang tegas untuk meminumkan kos kemanusiaan akibat penggunaan senjata ini,” kata Pengarah Eksekutif AOAV, Dr Iain Overton.
AS kerah pesawat pengebom?
Penghantaran itu dibuat di tengah-tengah ketegangan yang kembali meningkat di rantau itu selepas terdapat laporan yang mendakwa IDF sedang membuat persiapan untuk melancarkan perang baharu ke atas Gaza jika perjanjian gencatan senjata dimeterai pada 19 Januari lalu runtuh.

Flightradar24 menerusi catatan di platform X menunjukkan laluan skuadron terdiri daripada enam pesawat pengebom Tentera Udara AS. Foto Agensi
Selain bom pembunuh itu, terdapat penghantaran tambahan sebanyak 132 jentolak perisai D9 yang digunakan Zionis untuk kejuruteraan tempur dan perobohan bandar juga sedang menuju ke Tel Aviv.
Dalam perkembangan berkaitan, skuadron terdiri daripada enam pesawat pengebom Tentera Udara AS dilaporkan terbang di ruang udara Laut Mediterranean, menurut penjejak penerbangan global, Flightradar24 pada Isnin.
Ia terdiri daripada dua Boeing B-52 Stratofortress, iaitu pengebom strategik jarak jauh, subsonik, pengebom strategik berkuasa jet dan empat pesawat Boeing KC-135 Stratotanker yang direka untuk mengisi minyak jet pejuang di udara.
Pesawat tersebut dilaporkan berlepas dari pangkalan Tentera Udara Diraja Mildenhall di England dan tiba di Mediterranean berhampiran Eropah Selatan dan Afrika Utara dengan kemungkinan menuju ke Asia Barat.
Penarikan embargo dan penghantaran ‘senjata maut’ telah menyerlahkan perubahan landskap dasar luar AS setelah Trump kembali semula ke Rumah Putih pada bulan lalu.

Bom pesawat serba guna itu berupaya menembusi sasaran bertetulang dan mengakibatkan kemusnahan berskala besar dengan impak letupan yang kuat. Foto Agensi
Menerusi catatan di media sosial, Trump menyatakan banyak ‘urus niaga’ untuk Israel tergendala dan tidak dihantar Biden sedang dalam perjalanan ke Tel Aviv’.
Keputusan melulu beliau telah mencetuskan perdebatan di Washington dan sebahagian besar khuatir jika ia menyebabkan aliran senjata tidak terkawal ketika komuniti antarabangsa sedang memberi tumpuan terhadap situasi di Asia Barat setelah rancangan Trump mahu mengambil alih Gaza dan melakukan pemindahan paksa ke atas penduduk Palestin mengundang kecaman banyak pihak. – Agensi
INFO
> Sejak Oktober 2023, Israel menerima lebih 76,000 tan peralatan ketenteraan dengan sebahagian besarnya dihantar AS.
> MK-84 boleh ditukar menjadi bom berpanduan tepat dengan bantuan kit panduan yang disediakan AS.