Indian Wells, Amerika Syarikat: Pemain nombor satu dunia Aryna Sabalenka menewaskan Lucia Bronzetti 6-1, 6-2 untuk mengetuai beberapa pemain pilihan mara ke peringkat 16 terakhir kejohanan Indian Wells, awal pagi tadi.
Aryna berkata, tiupan angin yang tidak dijangka di Stadium Court dan kesungguhan lawan yang menduduki ranking ke-62 membuatkan dia sangat lega dapat menamatkan perlawanan dalam tempoh 1 jam 14 minit.
“Dia beraksi dengan baik,” kata pemain Belarus itu. “Jumlah mata nampak mudah tetapi ia bukan perlawanan mudah. Saya perlu berjuang untuk setiap mata dan saya sangat gembira dengan kemenangan ini,” tambah Aryna yang selepas ini berdepan pemain Britain, Sonay Kartal yang mengatasi Polina Kudermetova 7-5, 6-3.
Dalam pada itu, juara Terbuka Australia Madison Keys yang menewaskan Aryna pada final di Melbourne terpaksa berhempas pulas ketika menentang Elise Mertens sebelum menang 6-2, 6-7 (8/10), 6-4 dalam tempoh dua jam 48 minit.
“Memang lega.” Akur Madison selepas tamat perlawanan. “Hari ini saya fikir bukan aksi terbaik saya tetapi pastinya gembira selepas dicabar hebat Elise,” katanya lagi.
Dalam perlawanan lain, pemain nombor tiga dunia, Coco Gauff menang 7-6 (7/1), 6-2 ke atas pemain Greece Maria Sakkari yang menewaskan Coco pada separuh akhir tahun lalu untuk mara ke final keduanya di Indian Wells dalam tempoh tiga tahun.
Coco akan menentang pemain Switzerland Belinda Bencic yang mengatasi pemain Rusia Diana Shnaider 6-4, 6-4.
© New Straits Times Press (M) Bhd