Aryna buru gelaran hatrik Terbuka Australia

Aryna buru gelaran hatrik Terbuka Australia

Brisbane: Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka mengakui berasa ‘segar dan bersedia’ untuk memburu gelaran Terbuka Australia buat kali ketiga berturut-turut, sambil memberi amaran bahawa dia masih mempunyai banyak ruang untuk memperbaiki prestasinya.

Pemain berusia 26 tahun itu menikmati tahun 2024 yang luar biasa, melangkah tujuh pentas final dan memenangi empat gelaran, termasuk Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Ia bermula dengan kejayaan mempertahankan gelaran Terbuka Australia, menewaskan Zheng Qinwen dari China di final.

Sekiranya dia berjaya memenanginya lagi, Aryna akan menjadi wanita pertama yang merangkul tiga gelaran perseorangan Terbuka Australia berturut-turut sejak Martina Hingis melakukannya pada 1997 sehingga 1999.

“Saya rasa segar dan sudah bersedia,” kata pemain Belarus itu di laman web WTA, selepas tiba untuk kejohanan Brisbane International yang bermula esok, sebagai persiapan menjelang Terbuka Australia pada 12 Januari ini.

“Saya suka Australia, dan saya selalu datang ke sini dengan penuh semangat dan sudah bersedia.

“Saya rasa mendapat sokongan penuh di sini, dan saya fikir itulah perkara terbaik mengenai Australia, di mana orang ramai benar-benar minat dengan tenis,” katanya lagi.

Aryna juga memulakan tahun 2024 di Brisbane dengan mara ke final tanpa tewas satu set pun, namun tumbang di tangan Elena Rybakina dari Kazakhstan dalam perlawanan akhir.

Dia menghabiskan masa musim cuti di rumahnya di Florida sebelum berlatih di Timur Tengah untuk bersedia ke Australia dan akan menggunakan kejohanan Brisbane sebagai persiapan terakhir menghadapi Grand Slam pertama.

“Kejohanan pertama sebelum kejohanan utama adalah peluang untuk mencuba dan melihat apa yang berkesan untuk anda dan sebaliknya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top