mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas hampir 40 tahun bermain muzik, barulah pemain gitar kumpulan Iklim, Umarul Mahdzar Embong mendedahkan Allahyarham bapanya, Embong Long tidak pernah merestui dia bermain muzik.
Umarul ketika ditemui berkata, bapanya itu tidak pernah bangga dia berjaya sebagai pemuzik dan mencipta populariti bersama Iklim pada awal 90-an dulu.
“Ini rahsia yang saya simpan. Dia tak bangga walaupun saya berjaya sebagai pemuzik.
“Sebab itu saya tak pernah aktif yang berlebih-lebih dalam muzik dan banyak menolak juga dalam permainan muzik. Dia tak pernah restu sampai akhir hayat saya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, sebelum meninggal dunia, bapanya berpesan supaya Umarul meninggalkan bidang muzik dan dia berjanji akan ikut.
“Dia orang alim. Dia dikenali di Kampung Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu sebagai orang warak. Dia nak saya teruskan pengajian di luar negara. Adik-beradik saya semua belajar di luar negara,” katanya.
Menurut Umarul, keputusan dia membubarkan Iklim juga bertitik-tolak kepada situasi ini yang turut disifatkannya sebagai satu hikmah.
“Mungkin dah sampai masa untuk saya berhenti dan ia bersabit dengan peristiwa pembubaran Iklim juga. Mungkin ada hikmah. Saya sangat percaya benda itu.
“Apapun yang berlaku terhadap Iklim, saya maafkan semua yang berlaku dan tiada benci. Saya halalkan dan reda,” katanya.
Umarul berkata, dia kini sudah bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada bidang muzik dan beralih kepada bidang lukisan sepenuhnya.
“Saya memang aktif dengan lukisan cat minyak. Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat memuaskan. Kalau ikutkan saya dah berpuas hati dengan royalti yang diperoleh menerusi hasil karya muzik selama ini.
“Tak dinafikan masih ada lagu-lagu dalam simpanan termasuk yang sepatutnya dirakam bersama Syafiq Farhain untuk Iklim sebelum ini,” katanya yang menafikan dia membuat keputusan itu kerana merajuk dengan kemelut dalam Iklim.
Terdahulu Umarul mengesahkan pembubaran Iklim seperti diumumkan ketua kumpulan, Mohalim pada 25 Februari lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd