
Arsenal hanya mampu seri 2-2 dengan Palace dalam aksi EPL. Foto AFP
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta meluahkan kekecewaan selepas skuad bimbingannya sekadar seri 2-2 menentang Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Khamis.
Arteta mengakui prestasi anak-anak buahnya tidak mencapai tahap yang sepatutnya, lebih-lebih lagi menjelang pertembungan penting separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA menentang Paris Saint-Germain (PSG) Khamis depan.
“Kami tidak berada pada standard biasa kami hari ini dan saya beri pujian kepada Crystal Palace. Kami bergelut untuk konsisten sepanjang perlawanan.
“Banyak kesilapan dalam hantaran mudah dan kami lambat dalam segala tindakan. Saya sangat kecewa.
“Kami gagal menunjukkan konsistensi dalam aksi yang boleh menguasai perlawanan. Dalam bola sepak, ini biasa, tapi ia telah menyebabkan kami kehilangan dua mata.
“Kami sudah bincang supaya fokus tidak terarah kepada perlawanan lain. Masih ada masa untuk bersedia bertemu PSG, tapi hari ini kami tak cukup bagus untuk menang,” katanya.
Menurutnya, jarak masa enam hari sebelum aksi seterusnya perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk kembali cergas dan memastikan pemain kembali ke tahap terbaik.
“Palace memang tersusun, mereka pasukan yang bagus dan mereka menyukarkan kami. Tapi hari ini, kami memang tak berada pada tahap terbaik.
“Kami ada perlawanan paling penting musim ini dalam masa enam hari. Kami perlu bangkit,” katanya.
Arteta turut menolak alasan pemain terlampau memikirkan perlawanan menentang PSG, namun mengakui kecederaan yang melanda skuad memberi kesan besar.
“Ramai pemain utama masih belum pulih dan tak dapat berlatih, jadi skuad agak terhad hari ini,” ujarnya.