PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menyifatkan The Gunners tidak tampil dengan ketenangan ketika ditunjukkan jalan keluar dari pentas separuh akhir Piala Liga pada Khamis.
Malah, jelas Arteta, kelab London itu tampil ke Stadium St James’ Park laman Newcastle United dengan jangkaan tinggi untuk menterbalikkan keputusan 0-2 di Stadium Emirates sebelum ini.
Namun sebaliknya lain pula berlaku apabila Martin Odegaard mensia-siakan peluang awal diikuti kesilapan yang dimanfaatkan Jacob Murphy untuk melebarkan agregat The Magpies sebelum Anthony Gordon mengesahkan kemaraan anak buah Eddie Howe.
“Kami perlu menjana momentum, terutamanya pada separuh masa pertama untuk mempercayai bahawa kami boleh menterbalikkan keputusan sebelum ini.
“Kemudian kami mempunyai masa, dua peluang besar bersama Martin, namun kami tidak memanfaatkan aksi seterusnya, mereka menjaringkan gol dan jelas sekali itu yang mengubah permainan.
“Anda perlu kekal tenang, untuk menjaringkan gol seawal mungkin. Kami tidak berjaya melakukannya pada separuh masa pertama walaupun mempunyai satu lagi peluang besar. Pada separuh masa kedua kami mula bergelut menyaksikan permainan mula menjauhi kami,” kata Arteta.
Newcastle melangkah ke final Piala Liga kedua selepas menewaskan Arsenal 2-0 dalam aksi timbal balik separuh akhir kedua di Stadium St James’ Park untuk melengkapkan kemenangan agregat 4-0.