London:Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, tidak pasti sama ada pemain tengah bertahan Declan Rice akan diturunkan dalam perlawanan derby London Liga Perdana menentang Chelsea di Stamford Bridge.
Walaupun Arteta tidak mendedahkan sebarang butiran mengenai kecederaan pemain antarabangsa England berusia 25 tahun itu, media Britain melaporkan bahawa Rice patah jari kaki namun dijangka mungkin beraksi menentang Chelsea.
Rice mengalami kecederaan tewas 0-1 di tangan Newcastle United dalam perlawanan Liga Perdana minggu lalu dan terlepas aksi menentang Inter Milan dalam Liga Juara-Juara.
“Saya terpaksa bersikap tidak bercakap mengenai perkara itu kerana tiada kepastian sama ada dia akan cergas atau tidak untuk hujung minggu ini. Dia belum lagi menjalani latihan dan masih belum jelas sama ada dia akan tersedia,” kata Arteta kepada pemberita.
Pengurus dari Sepanyol itu juga tidak mendedahkan sama ada kapten Martin Odegaard akan kembali ke kesebelasan utama.
Pemain tengah Norway berusia 25 tahun itu beraksi sebagai pemain gantian menentang Inter di San Siro selepas dua bulan diketepikan akibat kecederaan pergelangan kaki.
“Semua yang berada dalam skuad akan cergas dan boleh diturunkan untuk perlawanan itu. Kemudian, ia akan menjadi keputusan sama ada ia terlalu awal,” kata Arteta.
Kekalahan Arsenal kepada Newcastle meletakkan mereka di tangga kelima Liga Perdana dengan 18 mata daripada 10 perlawanan, tujuh mata di belakang pendahulu Liverpool dan lima mata kurang daripada Manchester City di tempat kedua.
Chelsea berada di tempat keempat dengan jumlah mata yang sama dengan Arsenal namun memiliki kelebihan perbezaan gol.
© New Straits Times Press (M) Bhd