BINTANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi diharap lebih bijak dalam mengawal emosi sekali gus tidak menjejaskan imej bersih dan reputasi baiknya selaku antara pemain paling bernilai di negara ini.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, Arif Aiman antara ikon dan idola bukan sahaja dalam kalangan peminat bola sepak tetapi juga ramai kanak-kanak yang mengagumi bakat dan kualiti dimilikinya.
Menurutnya, tidak salah juga untuk pemain berusia 22 tahun itu berjiwa besar untuk memohon maaf atas keterlanjurannya menumbuk pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Ahad.
Mohd Sadek berkata, biarpun Tommy Mawat juga bersalah kerana turut bertindak agresif, namun Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia tiga tahun berturut-turut itu perlu lebih bijak menguruskan emosi dalam sebarang situasi.
“Saya melihat di sini Arif Aiman gagal mengawal tekanan selepas diangkat terlalu tinggi dan merasakan dia terlalu istimewa.
“Tiba-tiba kejadian ini berlaku dan dalam cuba menguruskan pujian, dia berkelakuan seperti orang tidak bijak.
“Arif Aiman kena berjiwa besar memohon maaf atas tindakannya. Sebagai individu ternama dan pemain paling mahal di Malaysia, dia kena tunjuk sikap yang luar biasa untuk memohon maaf atas keterlanjurannya.
“Kerjayanya masih jauh dan dia juga seorang pemain yang bagus sedang mencipta nama. Ramai yang mahu melihat dia berjaya tanpa adanya insiden yang tidak diingini seperti ini,” katanya kepada Sukan Sinar.
Dalam perlawanan itu, situasi tegang tersebut berlaku pada minit ke-83 selepas Tommy Mawat cuba menghalang larian Arif Aiman sebelum berlakunya pergaduhan.
Dalam keadaan kecoh itu, Tommy Mawat seperti mencekik Arif Aiman sebelum pemain JDT itu dilihat melepaskan tumbukan ke arah kepala pemain Perak itu ketika rakan sepasukan dan pengadil Razlan Joffri Ali cuba meleraikan pergaduhan.
Namun, turut menimbulkan tanda tanya tindakan Razlan yang hanya melayangkan kad kuning biarpun ramai berpendapat insiden tersebut seharusnya diakhiri dengan kedua-dua pemain dibuang padang.
Dalam pada itu, Mohd Sadek turut melihat kegagalan pengadil untuk melayangkan kad merah kepada Arif Aiman dan Tommy Mawat menyebabkan isu tersebut bertambah rumit.
“Kesilapan dilakukan pengadil itu bukan kecil tetapi besar dan menyebabkan kejadian itu menjadi bertambah rumit.
“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kena melihat perkara ini dengan serius kerana ia menambahkan lagi ramuan dalam cerita yang tidak indah dalam bola sepak Malaysia,” katanya.