Arak tiruan dijual pada harga RM500 sebotol

Arak tiruan dijual pada harga RM500 sebotol

KUALA LUMPUR: Taktik licik seorang pengurus kelab malam menjual arak tiruan pada harga tulen terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu dua premis di ibu negara pada 6 Februari lalu.

Sebanyak 244 botol minuman keras pelbagai jenama yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah dirampas dengan nilai keseluruhan mencecah RM104,918.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman berkata, siasatan awal mendapati arak tiruan itu dijual pada harga antara RM400 hingga RM500 sebotol, sama seperti arak asli bagi mengaburi pelanggan termasuk pelanggan tetap yang sudah biasa dengan jenama terlibat.

Menurutnya, maklumat awal diperoleh hasil aduan orang awam yang mengesyaki ketulenan arak yang dijual di premis terbabit.

“Hasil imbasan pada setem cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak mengeluarkan sebarang maklumat berkaitan, menimbulkan keraguan terhadap ketulenan dan tahap keselamatan kandungan minuman keras itu,” katanya dalam sidang akhbar di Segambut di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Sabri, serbuan dilakukan selepas dua minggu risikan dan pemantauan rapi oleh anggota penguat kuasa bersama wakil pemilik berdaftar cap dagangan.

“Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang mengaku sebagai pengurus pusat hiburan ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana memiliki barang yang menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah untuk tujuan perdagangan,” katanya.

Jelasnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 5 (1) (b) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membekalkan barang yang mempunyai perihal dagangan palsu.

“Kita juga akan membuat tindakan susulan dari mana sumber arak tersebut diperolehi,” tegasnya. – UTUSAN

Scroll to Top