
Dari kiri: Pengarah Eksekutif CAU, Farruh Rashidov bersama Calvert dan Pengerusi CAU, Dr Nematullah Karimov di pejabat CAU Uzbekistan.
SHAH ALAM – Syarikat tersenarai Pasaran ACE, AppAsia Bhd memeterai perjanjian kerjasama selama 15 tahun untuk memperkenalkan platform pengesahan bank elektroniknya, eConfirm di Uzbekistan.
Anak syarikat milik penuhnya, AppAsia International Sdn Bhd, menandatangani perjanjian eksklusif itu bersama Chamber of Auditors of Uzbekistan (CAU) dan Infinite Finance and Advisory LLC untuk mewujudkan rangka kerja bagi pelaksanaan platform eConfirm.
Perjanjian tersebut menandakan pencapaian penting dalam pendigitalan proses pengesahan audit di Uzbekistan, sekali gus mengukuhkan komitmen eConfirm dalam meningkatkan ketelusan serta kecekapan kewangan di rantau itu.
Di bawah perkongsian strategik itu, eConfirm bersama CAU dan Infinite Finance & Advisory akan memudahkan pelaksanaan platform berkenaan di Uzbekistan.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, inisiatif tersebut merupakan langkah pertama dalam usaha mendigitalisasikan proses pengesahan audit merentasi pelbagai wilayah dengan memastikan penyelesaian selamat, memenuhi piawaian dan cekap bagi juruaudit serta institusi kewangan.
Penggunaan platform tersebut sejajar dengan visi untuk memperkasakan sektor audit di Uzbekistan melalui inovasi digital.
Perkongsian tersebut akan menyediakan juruaudit dan institusi kewangan dengan kaedah pengesahan audit yang boleh dipercayai, automatik dan selamat.
Sebagai rakan pelaksanaan tempatan, Infinite Finance & Advisory, LLC akan memainkan peranan dalam memacu penggunaan platform berkenaan dalam kalangan firma audit dan bank di Uzbekistan.
Pengarah Eksekutif AppAsia, Calvert Wong berkata, kerjasama tersebut membuktikan komitmen mereka dalam memperluaskan capaian eConfirm di peringkat global.
“Uzbekistan merupakan pasaran penting dan kami amat berbesar hati untuk bekerjasama rapat dengan rakan kongsi bagi memastikan pelaksanaan ini berjaya,” katanya.
Pelaksanaan eConfirm di Uzbekistan dijangka membawa manfaat besar kepada juruaudit, bank dan institusi kewangan dengan mengurangkan risiko penipuan serta meningkatkan kecekapan proses audit.