am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan 87 kes tangkapan membabitkan penahanan 321 individu atas pelbagai kesalahan menerusi Op Khas Pagar Laut 1/2025 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM4.809 juta.
Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, data itu adalah kejayaan pelaksanaan operasi berkenaan yang dijalankan di seluruh kawasan perairan negara bermula 10 Mac hingga hari ini.
Katanya, operasi ini membabitkan empat fasa bermula daripada pengumpulan maklumat dan kesiapsiagaan aset, penguatkuasaan pra dan pasca Aidilfitri hinggalah ke sesi penilaian selepas operasi.
“Sepanjang tempoh operasi ini, sebanyak 87 kes tangkapan telah direkodkan membabitkan penahanan 321 individu dengan 13 warga asing seperti Myanmar, Indonesia, China, Iran, Bangladesh, Vietnam dan lain-lain ditahan.
“Berdasarkan kepada tangkapan yang dilakukan, statistik menunjukkan kesalahan tertinggi adalah Akta Perikanan 1985 iaitu 44 kes, diikuti Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (26 kes) dan Akta Imigresen 1959/63 (16 kes),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah APMM Sabah dan Labuan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Rosli berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM4.809 dengan rampasan terbesar membabitkan dua kapal nelayan asing bernilai RM3 juta.
“Rampasan lain ialah rokok seludup (RM958,000), benih udang kara dan ikan (RM500,490), bot dan enjin (RM222,900), kenderaan (70,5000), barang kawalan (RM17,671.50), bubu naga/pukat pari (RM37,160) dan diesel/petrol (RM3,215).
“Kes tangkapan tertinggi adalah di APMM Johor iaitu mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu 22 kes, diikuti APMM Sabah dan Labuan dengan 21 kes dan APMM Sarawak sebanyak 14 kes,” katanya.
Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota APMM yang digerakkan secara bergilir-gilir sepanjang tempoh operasi, siang dan malam tanpa henti.
“Op Khas Pagar Laut 1/2025 tamat tidak bererti tiada operasi dan rondaan dilakukan, tetapi APMM akan mempertingkatkan lagi keselamatan perairan negara khususnya di kawasan ‘hotsport’ sempadan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd