am@hmetro.com.my
Tanjong Karang: Malas turun ke laut menangkap ikan sebaliknya mengupah nelayan asing untuk mengambil alih tugas sebagai anak kapal.
Ini dibuktikan apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor memberkas empat nelayan warga Myanmar termasuk tekong yang menangkap ikan di perairan negeri ini.
Kesemua mereka berusia 29 hingga 43 tahun dikesan menaiki bot nelayan tempatan ketika ditahan jam 12.45 tengah malam kelmarin.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kapal itu dikesan ketika sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh kapal peronda APMM.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal itu menggunakan khidmat nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Selain itu, kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Abdul Muhaimin berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Ujarnya, kesemua nelayan itu ditahan manakala vesel dan hasil tangkapan beserta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Maritim Malaysia akan meneruskan pemantauan dan rondaan di sempadan perairan negara serta memandang serius terhadap kesalahan membabitkan aktiviti menangkap ikan di luar zon ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia
© New Straits Times Press (M) Bhd