APMM, Bakamla RI perkukuh hubungan dan kerjasama tangani isu keselamatan maritim

APMM, Bakamla RI perkukuh hubungan dan kerjasama tangani isu keselamatan maritim

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu keselamatan maritim dan kesiapsiagaan menghadapi ancaman keselamatan serantau antara tumpuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (Bakamla RI).

Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, perkara itu dibincangkan bersama kedua-dua pihak dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas kerjasama strategik dalam keselamatan serta penguatkuasaan maritim antara kedua negara.

“Kerjasama erat antara Maritim dan Bakamla RI perlu diperkukuh dalam menghadapi cabaran keselamatan baharu seperti aktiviti penyeludupan, pencerobohan perairan serta ancaman lain yang berpotensi menggugat kestabilan serantau.

“Kepercayaan dan keakraban antara kedua-dua agensi menjadi teras utama dalam memastikan perairan Malaysia-Indonesia kekal selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau terdahulu mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Bakamla RI di Jakarta, hari ini.

Lawatan berkenaan merangkumi kunjungan hormat terhadap Ketua Bakamla RI, Laksamana Madya TNI Irvansyah.

Turut mengiringi beliau semasa lawatan adalah Pengarah Bahagian Perisikan Maritim Malaysia (MIND), Laksamana Pertama Maritim Datuk Md Fauzi Othman.

Sepanjang pertemuan itu, kedua-dua pemimpin terbabit membincangkan pelbagai isu keselamatan maritim termasuk pemantauan dan pengawasan perairan, pencegahan jenayah rentas sempadan serta pelaksanaan latihan dan operasi bersama bagi meningkatkan kecekapan aset serta kesiapsiagaan anggota menghadapi ancaman keselamatan serantau.

Sebagai sebahagian daripada komitmen bersama, Mohd Rosli berkata, kedua-dua agensi terus memperkukuh pelaksanaan Patroli Koordinasi Optima (PATKOR OPTIMA) MALINDO, iaitu operasi rondaan bersepadu yang dilaksanakan secara tahunan di perairan negara masing-masing.

“Operasi ini menyaksikan pembabitan aset maritim dari kedua-dua negara dalam meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan perairan yang strategik, sekali gus memastikan kelancaran laluan perdagangan serta mengurangkan risiko ancaman jenayah maritim,” katanya.

Lawatan kerja rasmi itu turut menyaksikan sesi pertukaran cenderamata antara Mohd Rosli dan Irvansyah sebagai simbol keakraban serta kesepakatan dalam memperkukuh hubungan strategik kedua agensi.

Kerjasama erat itu diyakini mampu meningkatkan keupayaan penguatkuasaan maritim, memperkukuh keselamatan perairan serantau serta memastikan kestabilan di rantau ini terus terpelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top