APM tangkap ular sawa 50 kg

APM tangkap ular sawa 50 kg

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Seekor ular sawa batik seberat 50 kilogram (kg) ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Baru Star di sini, semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Gua Musang, Mohd Hanafi Mohd Bokri berkata, haiwan sepanjang empat meter berjaya ditangkap oleh tiga anggota APM.

Katanya, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian, kira-kira 8 malam, sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Tiga anggota APM mengambil masa 30 minit untuk menangkap haiwan terbabit yang berada berhampiran rumah penduduk di Kampung Baru Star.

“Operasi agak sukar kerana haiwan itu agak agresif dan mungkin dalam keadaan kelaparan. Alhamdulillah, operasi selesai jam 9 malam tadi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Hanafi berkata, ular sawa batik itu akan di serahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

“Saya harap orang ramai atau penduduk, terutama yang tinggal di kawasan berhampiran hutan atau semak untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada terutama apabila tiba musim hujan.

“Dibimbangi haiwan berbisa akan keluar dan tinggal di kawasan rumah mereka sehingga boleh menyebabkan berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Star, Nur Anis Haitikah, 22, berkata, ular sawa terbabit hanya berada kira-kira 100 meter dari rumahnya.

“Ini kali pertama saya melihat ular sawa sebesar itu berhampiran rumah dan sangat terkejut melihat saiznya.

“Terima kasih kepada anggota APM yang cepat bertindak menangkap haiwan liar ini. Kami juga bimbang sekiranya ia masuk ke dalam rumah dan menyebabkan kejadian tidak diingini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top