APM perlu pelajari amalan terbaik negara lain – Zahid

APM perlu pelajari amalan terbaik negara lain – Zahid

Bangi: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mempelajari amalan terbaik dari negara lain bagi meningkatkan keupayaan pertahanan awam negara.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata antara negara yang boleh dijadikan contoh ialah Switzerland yang telah berjaya mewujudkan rangkaian tempat perlindungan untuk populasi negara itu.

“Selain itu, mereka turut menguatkuasakan undang-undang yang mewajibkan integrasi tempat perlindungan nuklear kepada setiap bangunan baharu yang dibina.

“Dengan lebih 8.6 juta ruang perlindungan tersedia, mereka menunjukkan bagaimana perancangan strategik dan pandangan jauh dapat memperkukuh daya tahan negara,” katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Perdana Warga APM di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad Zahid berkata APM juga boleh mempelajari bagaimana Indonesia dan Turkiye sebagai negara ekonomi membangun menghadapi pelbagai cabaran semula jadi dan buatan manusia.

Mengulas lanjut, beliau berkata Indonesia telah melabur secara besar-besaran dalam pengurusan risiko bencana dengan memberi penekanan kepada pemerkasaan komuniti.

Turkiye pula katanya, telah membuat kemajuan besar dalam meningkatkan kesiapsiagaan bencananya melalui gabungan kempen pendidikan awam, perundangan, dan pelaburan infrastruktur.

“Melalui beberapa contoh negara yang saya sebutkan ini, saya menggesa APM untuk terus bertindak proaktif dengan mengkaji amalan terbaik yang dilakukan oleh negara berkenaan dan banyak lain negara lain untuk disesuaikan dengan konteks dan realiti negara kita.

“Jika kita dapat lakukan usaha ini, insya-Allah kita dapat membina sistem pertahanan awam yang bukan sahaja melindungi, tetapi meyakinkan rakyat bahawa kita bersedia menghadapi apa jua cabaran,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyatakan harapan agar APM mempertingkatkan kerjasama dengan masyarakat dengan memperbanyak program kesedaran awam berkaitan ancaman bencana dan keselamatan.

“Dalam situasi kecemasan atau bencana, kerjasama antara anggota keselamatan dan masyarakat adalah penting untuk respons yang cepat dan berkesan serta memberi banyak kelebihan terutamanya dalam mengatasi cabaran keselamatan dengan lebih berkesan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top