am@hmetro.com.my
Jelebu: Tidak perlu lagi hadir ke pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) jika mahu memohon bantuan atau membuat aduan sebaliknya manfaatkan sepenuhnya aplikasi MyDun Klawang melalui telefon pintar.
Adun Klawang Datuk Bakri Sawir berkata, aplikasi itu diwujudkan bertujuan memudahkan urusan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) berkenaan, termasuk yang tinggal di luar Dun tanpa perlu hadir ke pejabat.
“Dengan menggunakan aplikasi ini, penduduk boleh membuat aduan dengan lebih mudah dan pantas. Kemudian, mereka boleh melihat tindakan yang diambil berkaitan aduan sama ada sudah diselesaikan atau dalam proses.
“Sama juga berkaitan permohonan, semua itu boleh dilihat semula di dalam aplikasi tanpa perlu hadir ke pejabat,” katanya.
Bakri berkata, semua borang disediakan dan hanya perlu diisi secara dalam talian sahaja.
“Aplikasi boleh dimuat naik ke telefon pintar masing-masing daripada ‘Play Store’ dan ‘Apps Store’,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd