Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima empat kunjungan hormat, termasuk kunjungan dari ilmuwan dan pendakwah terkenal Amerika Syarikat berketurunan Palestin yang berpengkalan di Texas, Amerika Syarikat, Dr Omar Suleiman di Bangunan Parlimen.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata pertemuan itu membincangkan perkara berkaitan gencatan senjata di Gaza, situasi terkini perkembangan Islam di bawah kepimpinan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, serta peranan Malaysia dalam menegakkan mesej Islam yang inklusif dan sederhana.
“Beliau turut menyampaikan penghargaan terhadap usaha Malaysia melalui platform multilateral dalam program pembangunan semula Gaza yang kini sedang digiat dirancang sebaik-baiknya,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri juga menerima kunjungan hormat dari Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar Tan Sri Othman Hashim, dan telah bertukar pandangan ke arah penyelesaian konflik di Myanmar.
“Seperti saya maklumkan sebelum ini, adalah sangat mustahak bagi menjamin dan memastikan wujudnya keamanan di negara itu dengan menggunakan pendekatan yang penuh berhati-hati mengikut kesesuaian semasa.
“Blok ASEAN perlu memainkan watak penting dalam keterlibatan semua pihak bagi menyelesaikan konflik tersebut untuk menjamin keamanan serantau,” katanya.
Selain itu, Anwar juga menerima kunjungan hormat bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada beliau atas jasa serta khidmat bakti sewaktu bersama ATM.
Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat dari Pengarah Urusan Syarikat Neutral Transmission Sdn Bhd Dr Mohamed Awang Lah, bersama delegasi yang menyaksikan perbincangan pelbagai perkara penting berkaitan pemerkasaan prasarana serta industri telekomunikasi negara yang akan memberi manfaat kepada perkhidmatan internet, jalur lebar, teknologi 4G, 5G, dan sebagainya.
© New Straits Times Press (M) Bhd