am@hmetro.com.my
Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian Asean-Malaysia 2025.
Perdana Menteri berkata, Malaysia memerlukan negarawan seperti Thaksin untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi Asean berkenaan isu serantau.
“Saya juga bersetuju untuk melantik beliau (Thaksin) sebagai penasihat peribadi saya, (membantu Malaysia sebagai) Pengerusi Asean, bersama pasukan dari negara Asean dalam kerangka tidak rasmi.
“Terima kasih kerana (Thaksin) bersetuju dengan perkara ini kerana kami memerlukan manfaat daripada pengalaman seorang negarawan seperti beliau,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, selain komited melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara (5PC) membabitkan isu Myanmar, Malaysia dan Thailand mengambil pelbagai langkah melalui dialog tidak rasmi di pelbagai peringkat.
Katanya, ia adalah untuk memastikan Myanmar dapat kembali berfungsi secara penuh dalam Asean.
“Selain itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Thailand kerana mempunyai pendirian yang sama dengan Malaysia dalam proses penerimaan Timor-Leste sebagai anggota penuh Asean.
“Kami bekerjasama rapat untuk memastikan syarat yang ditetapkan dapat dipenuhi sebelum mesyuarat awal Asean yang bakal berlangsung menjelang akhir Mei tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Paetongtarn berkata, Thailand kekal menyokong Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025.
“Saya komited mengekalkan dinamik hubungan antara kedua-dua negara dalam menjamin kemakmuran dan keamanan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd