Anwar jamin kedudukan orang Melayu tidak akan terjejas

Anwar jamin kedudukan orang Melayu tidak akan terjejas

PETALING JAYA: Perdana Menteri (PM), Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan Madani akan mengekalkan pendirian bagi perkara melibatkan Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa Melayu dan Bumiputera serta bahasa Melayu.

Anwar dalam satu hantaran Facebook berkata, kebimbangan melibatkan toleransi terhadap bangsa lain yang dilihat mampu mengorbankan kepentingan masyarakat Melayu adalah tidak berasas.

Katanya, selepas pengambilan Bandar Malaysia dari entiti asing, pewartaan 50 ekar tanah sebagai Tanah Rizab Melayu merupakan jaminan kerajaan untuk melindungi kepentingan orang Melayu.

“Ada yang beranggapan kerajaan ini semakin mengorbankan kepentingan Melayu kerana mengejar keterangkuman.

“Saya tegaskan bahawa kekhuatiran itu tidak berasas sama sekali. Kerajaan Madani tidak akan berkompromi sama sekali dalam soal perkara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada hantaran di Facebook selepas menghadiri Majlis Jamuan Makan Malam 2024 Malay College Old Boys Association (MCOBA) di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Anwar menyeru rakyat untuk bersama dalam melaksanakan dasar-dasar bagi mengangkat ekonomi Melayu dan Bumiputera.

“Kerana itu kita harus bersama dan senada dalam melaksanakan dasar-dasar bagi mengangkat ekonomi Melayu dan Bumiputera secara telus.

“Ia sesuai dengan tuntutan zaman serta memastikan lebih ramai menerima manfaat terutama miskin bandar dan pedalaman, ketimbang hanya kroni dan pihak tertentu,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top