Kuala Lumpur: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa proses pemilihan parti itu dilaksanakan segera bagi membolehkan peralihan kepimpinan selaras dengan prinsip demokrasi yang dijunjung tinggi.
Perkara itu antara inti pati dalam ucapan penangguhan beliau pada Kongres Nasional Khas PKR yang berlangsung di Shah Alam hari ini.
Anwar berkata barisan kepimpinan parti juga harus melibatkan gandingan baharu dan lama.
“Namun pimpinan muda usah gelojoh apabila diberi mandat kerana pengalaman getir pimpinan lalu yang dihina, ditekan dan dianggap sebagai musuh negara suatu ketika lalu yang mengizinkan PKR kukuh bertapak pada saat ini,” kata Perdana Menteri menerusi Facebook hari ini.
Kongres yang bertujuan untuk meminda perlembagaan parti itu diadakan secara hibrid bagi memberi peluang kepada perwakilan dari negeri yang terkesan banjir untuk turut serta secara dalam talian.
Anwar turut memaklumkan lebih dua pertiga perwakilan menyatakan persetujuan sewaktu pengundian sekali gus meluluskan usul pindaan perlembagaan parti.
Dalam ucapan sama, beliau turut menegur tindakan segelintir pimpinan dan Ahli Parlimen PKR yang terperangkap dalam sentimen yang dimainkan pembangkang hingga tergamak menyatakan belas kasihan kepada pihak yang mencuri berbilion ringgit wang rakyat.
“Pimpinan dan Ahli Parlimen PKR seharusnya bingkas menjawab dan melawan dakwaan pembangkang dengan fakta, umpamanya kegagalan mempertahankan kedaulatan negara dalam kes Batu Puteh.
“Pimpinan juga perlu segera memberi penjelasan pada rakyat terhadap sentimen dangkal kononnya Melayu dan Islam terancam ketika ini, sedangkan hakikatnya hanya mereka yang mencuri berbilion ringgit wang rakyat terancam di bawah pimpinan Kerajaan MADANI,” katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu turut mengingatkan setiap anggota dan pimpinan parti harus terus membela nasib rakyat dan bekerja dengan baik dan jawatan yang disandang bukan penyelesaian, tetapi ruang untuk melaksanakan cita-cita dan perjuangan parti.
© New Straits Times Press (M) Bhd