Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, tidak menyangka bahawa salah satu lagu hitsnya, Anta Permana, ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong, menjadi antara pilihan muzik Raja Charles III.
Ketika ditemui oleh XTRA, Siti mengakui pada mulanya sukar mempercayai perkara itu kerana bimbang menjadi mangsa penipuan. Namun, selepas ia disahkan oleh pihak Apple Music dan pasukan pengurusannya, beliau meluahkan rasa syukur dan terharu atas penghormatan tersebut.
“Saya terkejut dan tertanya-tanya, betul ke ni? Saya kena tipu ke ni? Tapi selepas disahkan oleh Apple Music dan Universal Malaysia, barulah saya percaya.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira untuk lagu ini. Saya rasa terharu kerana dalam banyak-banyak lagu, ada juga satu dari Malaysia yang tersenarai. Ini satu penghormatan besar, dan saya amat berterima kasih atas penghargaan ini,” katanya.
Siti berkongsi kegembiraannya ketika ditemui selepas majlis pelancaran lagu raya terbaharunya, Raya Nak Ke Mana?, hasil ciptaan Aisha Retno, RADi, dan Amylea Azizan di Pavilion Kuala Lumpur.
Selain itu, beliau turut mengambil kesempatan untuk memuji bakat komposer dan penulis lirik tempatan, yang menurutnya memiliki potensi besar untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Hael Husaini dan Ezra Kong. Ini membuktikan bahawa komposer kita sangat berbakat dan mampu menembusi pasaran global.
“Namun, industri muzik kita masih kurang mendapat pendedahan di luar negara. Sebab itu, apabila penyanyi kita bertanding di peringkat antarabangsa, mereka sering mendapat perhatian,” katanya.
Sebelum ini, Siti turut berkongsi berita gembira itu di akaun Instagramnya setelah lagu Anta Permana diumumkan sebagai salah satu pilihan dalam senarai khas Raja Charles III.
Selain Anta Permana, senarai His Majesty King Charles III’s Playlist yang dikumpulkan oleh Apple Music itu turut menampilkan nama-nama besar seperti Diana Ross, Bob Marley, Raye, Grace Jones, dan beberapa lagi.
Artikel Berkaitan: Siti Nurhaliza Syukur, Lagu ‘Anta Permana’ Jadi Pilihan Peribadi Raja Charles III – “I Am Beyond Bless & Deeply Thankful”