am@hmetro.com.my
Klang: Gangguan anjing liar terutamanya di kawasan perumahan bukan isu baharu, malah ia bagaikan tidak berkesudahan dan menjadi antara kebimbangan penduduk.
Lebih merisaukan apabila haiwan berkenaan bertindak agresif dengan mengejar penduduk terutamanya kanak-kanak serta warga emas yang tidak berdaya untuk melarikan diri.
Itu yang dihadapi penduduk Pangsapuri Seri Perantau di sini sejak sekian lama malah, kedatangan haiwan liar itu dilihat semakin banyak dan bagaikan tiada jalan penyelesaian.
Penduduk, Saharudin Omar, 39 berkata, kehadiran anjing liar di kawasan berkenaan juga dilihat lebih banyak sejak beberapa tahun ini berikutan ada penduduk yang memberi makan kepada haiwan berkenaan.
“Anjing ini bukan sahaja mengganggu dan mengancam keselamatan kami tetapi turut merosakkan harta benda kami.
“Sebagai contoh, mereka suka menggigit tempat duduk motosikal serta antena kereta.
“Bukan sahaja menanggung kerugian akibat kerosakan itu, malah menyusahkan kami kerana terpaksa menyertu di tempat yang digigit,” katanya.
Beliau berkata, puluhan anjing liar yang berkeliaran dalam kawanan amat tidak selamat untuk penduduk di situ.
Katanya, kumpulan anjing liar juga sering bergaduh dan mendatangkan bunyi bising terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.
“Kami juga takut untuk membiarkan anak-anak turun bermain kerana haiwan ini kebiasaan tidur di bawah kereta dan jika tidak bernasib baik, ia akan menyalak serta mengejar.
“Anak saya juga pernah terjatuh dan terluka di muka kerana lari selepas disalak anjing liar ketika balik dari sekolah,” katanya yang menetap di situ sejak 19 tahun lalu.
Saharudin berkata, penduduk juga dalam keadaan dilema yang mana jika haiwan itu dipukul, sudah pasti penduduk akan disalahkan kerana menganiayai anjing.
“Kalau kita guna cara sendiri, pasti akan memudaratkan diri dan keluarga, apatah lagi dengan kuasa viral. Kami bimbang akan dituduh sebagai menganiayai haiwan.
“Justeru, kami mengharapkan pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berusaha untuk mengatasi keadaan itu dengan kerap memantau kehadiran haiwan berkenaan seterusnya menangkapnya,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Saari Mohd khairuddin, 31 berkata, beliau pernah dikerumuni sekumpulan anjing liar ketika berjalan bersama dua anak untuk ke kedai berdekatan kawasan pangsapuri.
“Ketika itu saya bersama dua anak berusia tiga dan lima tahun, memang terkejut apabila sekumpulan anjing liar ini cuba mengepung kami.
“Saya kemudian bertindak mengambil kayu dan mengacah untuk memukul haiwan itu sebelum kumpulan itu melarikan diri.
“Peristiwa itu memang menakutkan kerana saya bersama anak kecil. Inilah yang membuatkan kami penduduk merasa tidak selamat terutamanya untuk melepaskan anak-anak bermain di sekitar kawasan pangsapuri.
Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok
© New Straits Times Press (M) Bhd