Kuala Lumpur: Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim mahu pihak yang berkaitan mengangkat hasil tenunan-tenunan Melayu yang kurang mendapat perhatian supaya menjadi inspirasi rekaan kepada pereka tekstil sekali gus menjadikan setiap rekaan mempunyai jati diri dan gambaran nuansa masyarakat.
Tuanku Zara bertitah usaha yang komprehensif perlu dilaksanakan dengan penglibatan pelbagai pihak agar manfaat penyelidikan dan keistimewaan tenunan ini dapat diketengahkan kepada lebih ramai lagi selain terus membugar dan tidak ditelan zaman.
“Usaha pihak muzium mempamerkan dan mendokumentasikan koleksi limar yang dimiliki merupakan satu usaha yang terpuji.
“Limar merupakan antara tenunan sutera Melayu yang menggunakan teknik ikat yang kurang mendapat perhatian sewajarnya tidak seperti tekstil-tekstil Melayu yang lain seperti songket dan batik.
“Umumnya, di Semenanjung limar dibuat dan banyak boleh ditemui di Kelantan, Terengganu, Patani (Thailand) dan Utara Perak,” titah Tuanku Zara semasa merasmikan Pameran Limar Tenunan ‘Warisan yang kian dilupakan’ di Muzium Seni Asia Universiti Malaya di sini malam ini.
Sementara itu, Tuanku Zara bertitah pembuatan kain limar yang kompleks dan penggunaan bahan mewah seperti sutera bermutu tinggi, bahan perwarna yang diimport dan benang emas menyebabkan kesenian ini terpinggir.
Keberangkatan tiba Tuanku Zara pada 8.30 malam tadi diiringi Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tan Sri Zarinah Anwar.
© New Straits Times Press (M) Bhd